June 15, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rika Riana Reda Dalam Luka, Sandarkan Harapan Pada ‘Harus Begini Jadinya’

Spread the love

Tidak mudah bagi penyanyi muda berbakat Rika Riana untuk merakamkan lagu terbarunya, Harus Begini Jadinya, yang menuntut penghayatan emosi mendalam. Namun, pengalaman mencabar itu menjadi antara detik paling berharga buat anak seni berusia 25 tahun ini.

Menurut Rika, Harus Begini Jadinya bukan sekadar lagu, sebaliknya sebuah perjalanan rasa yang membentuk pengertiannya tentang kehilangan dan keikhlasan.

“Benar, Harus Begini Jadinya terletak pada kekuatan emosi yang mendalam berlandaskan kepada kejujuran bait kata-kata yang tersemat di dalamnya. Lagu ini sangat dekat di hati sebab ia menggambarkan perasaan reda dengan sebuah kehilangan. Meskipun kita mempertahankan sesuatu, jika bukan milik kita, ia harus dilepaskan,” ujar Rika penuh emosi.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer prolifik, Ajai, ini membawa kisah yang cukup dekat dengan kehidupan harian ramai orang. Bagi Rika yang berasal dari Keningau, Sabah, peluang bekerjasama dengan Ajai ibarat satu impian yang menjadi nyata.

“Sejak dulu lagi saya menginginkan karya daripada Abang Ajai kerana saya membesar dengan lagu-lagu ciptaan beliau. Sepanjang proses rakaman, beliau sangat teliti dan banyak membantu saya menghayati lirik dengan tepat. Ia satu pengalaman yang sangat berharga,” jelas finalis Mentor Millenia 2019 ini.

Rika juga berkongsi cabaran dalam menghasilkan video muzik (MV) lagu tersebut yang terpaksa melalui perubahan lokasi saat akhir akibat cuaca hujan. Walaupun pada awalnya MV dirancang di ruang terbuka, ia akhirnya dirakam di lokasi tertutup seperti bilik dan ruang tamu bagi mengekalkan kesesuaian naratif.

“Walaupun muzik video ini hanya berlatar di bilik dan ruang tamu, ia membawa naratif visual yang senyap tapi mendalam. Setiap babak dirakam dengan elemen kesederhanaan untuk menggambarkan rasa kekosongan dan proses penerimaan selepas kehilangan,” tambah Rika, atau nama sebenarnya Erika Rianty Anthony.

Menginjak ke tahun 2025, Rika berharap Harus Begini Jadinya akan membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk kerjaya seninya.

Diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music, Harus Begini Jadinya kini boleh distrim di semua platform digital mulai 18 April 2025, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page