RIIZE Bakal Gegar Kuala Lumpur Buat Pertama Kali

“2025 RIIZE CONCERT TOUR [RIIZING LOUD]” Akan Berlangsung pada 16 Ogos 2025 di IDEA LIVE KL
Peminat K-pop di Malaysia bakal disajikan dengan sebuah konsert penuh tenaga dan emosi apabila kumpulan lelaki sensasi dari Korea Selatan, RIIZE, tampil buat julung kalinya di Malaysia menerusi 2025 RIIZE CONCERT TOUR [RIIZING LOUD]. Konsert ini dijadual berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 5 petang bertempat di IDEA LIVE KL, Kuala Lumpur.
Konsert ini dianjurkan oleh iMe Malaysia dan merupakan sebahagian daripada siri jelajah dunia kumpulan tersebut yang meliputi pelbagai bandar utama seperti Seoul, Taipei, Hong Kong, Singapura, Macau, Manila, Tokyo, Bangkok, Jakarta, Fukuoka, Hiroshima, Saitama, dan Hyogo.
Penjualan tiket kepada umum akan bermula pada 3 Jun 2025, jam 12 tengah hari melalui laman rasmi tiket my.bookmyshow.com. Bagi pemegang keahlian, pra-jualan khas akan diadakan pada 2 Jun 2025, dari jam 12 tengah hari hingga 11:59 malam.
Kategori dan harga tiket (tidak termasuk caj pemprosesan RM4):VIP (Berdiri) – RM898, PS1 (Berdiri) – RM798, PS2 – RM698, PS3 – RM598, PS4 – RM498 dan PS5 – RM398

Untuk rekod RIIZE telah ditubuhkan di bawah naungan syarikat hiburan ternama Korea, SM Entertainment, kumpulan RIIZE terdiri daripada enam ahli berbakat iaitu Eunseok, Sungchan, Wonbin, Sohee, Shotaro dan Anton
RIIZE membuat penampilan sulung mereka pada tahun 2023 dengan lagu utama “Get A Guitar”, yang didahului oleh dua single pra-rilis, “Memories” dan “Siren”. Lagu debut mereka mendapat sambutan hangat, menduduki carta teratas iTunes di Malaysia, Filipina, dan Thailand serta berjaya memasuki carta Melon TOP 100 di Korea Selatan, mencapai kedudukan tertinggi di No. 25 — pencapaian luar biasa bagi kumpulan pendatang baharu.
Dalam tempoh hanya dua tahun selepas debut, RIIZE telah mencipta sejarah dengan memenangi anugerah “Kumpulan Lelaki Terbaik” di Melon Music Awards (MMA) — menjadikan mereka kumpulan terpantas dalam sejarah K-pop yang berjaya meraih pengiktirafan berprestij ini.
Nama RIIZE sendiri adalah gabungan dua kata — “Rise” (bangkit/berkembang) dan “Realize” (merealisasikan impian) — melambangkan misi dan perjalanan mereka sebagai kumpulan yang terus berkembang sambil mengejar impian secara bersama.
Pada 19 Mei 2025, RIIZE kembali dengan album penuh pertama mereka berjudul ODYSSEY. Dua lagu utama, “Bag Bad Back” dan “Ember to Solar (잉걸)”, menampilkan koreografi yang bertenaga serta melodi berirama yang memikat, mendapat pujian meluas daripada pengkritik muzik dan peminat di seluruh dunia.
Jelajah konsert ini yang bermula di Seoul kini berkembang ke seluruh Asia, termasuk Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi utama. Peminat di Malaysia berpeluang merasai pengalaman konsert RIIZE secara langsung — dengan produksi visual yang memukau dan persembahan pentas yang luar biasa.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti saluran rasmi iMe Malaysia di:
Facebook | Instagram | YouTube | TikTok | X (Twitter) | 小红书 (XHS)