November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Rebel” Karya Sulung Arahan Dato’ Awie Padat Aksi Dan Emosi

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Sejujurnya, atas dasar rasa keterujaan untuk menonton filem sulung arahan Dato’ Awie yang melangkah setapak lagi menaik-taraf bergelar sutradara, adalah satu kemestian bagi saya. Tidak boleh tidak, meskipun bukanlah seorang peminat setia filem aksi. Setelah sekian lama bergelumang di dalam dunia lakonan dengan puluhan filem dan cabaran watak yang diberikan, tentulah tidak sabar untuk saya menonton apa yang bakal Dato’ Awie sajikan pada penonton kali ini menerusi Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Plot cerita yang sangat straight-forward, teratur dan mudah dihadam meskipun terdapat begitu banyak konflik di sana sini. Mengisahkan tentang kehidupan seorang Luka, pemuda yang menetap dan dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan di kawasan setinggan serta dikelilingi aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan gangsterism.  Filem bermula dengan derita yang terpaksa dihadapi Luka sejak remaja kerana sering diganggu budak-budak nakal yang mengganggu ketenteraman di kawasan setinggan itu. Luka sedaya-upaya cuba menjalani kehidupan yang normal, namun tetap menjadi sasaran gangguan.

Kesabarannya tercabar apabila geng budak nakal yang diketuai oleh Bono telah cuba memeras ugut gerai nasi lemak ibunya. Demi mempertahankan ibunya, berlaku pergaduhan di antara Luka dan Bono. Luka yang bersendirian tentunya tidak dapat menewaskan Bono bersama gengnya, ini mengakibatkan Luka mula memberontak untuk menentang ketidakadilan yang berlaku di sekelilingnya. Perseteruan Luka dan Bono melarat sehingga mereka meningkat dewasa. Disitu bermula konflik demi konflik yang dipaparkan di dalam filem Rebel ini.

Watak antagonis yang dilakonkan oleh MK K-Clique sebagai Bono sangat terkesan sehingga ramai yang menjadi benci dan meluat setiapkali dia membuli orang-orang kampung, memeras ugut warga tua untuk wang perlindungan kononnya, menagih dadah, berfoya-foya dan tidak habis-habis mencari pasal mengganggu hidup Luka. Secara peribadi, saya sangat suka pada karektor Luka yang digambarkan sangat cool dan misteri sebagai seorang yang tidak banyak cakap, bijak namun sedikit lurus dan innocent. Ini kerana saya berpendapat watak seorang yang hebat ialah kurang berkata-kata tetapi banyak aksinya. Bonus pula apabila sedap mata memandang.

Filem aksi yang digarap oleh sutradara Dato’ Awie ini dibantu rapat oleh Azlan Komeng sebagai Koreografer Aksi berdasarkan pengalaman luas beliau dalam banyak filem aksi dan juga lagak ngeri (stunt). Azlan Komeng turut menggalas watak Pian, sahabat baik dan seperjuangan Luka. Naskah yang diilhamkan dari cetusan kisah benar Dato’ Awie sendiri bagaimanapun tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana pihak atau pertubuhan. “Kisah yang dipaparkan sememangnya benar-benar ada berlaku dalam kehidupan di luar filem. Bagaimanapun tujuan saya lebih kepada pemahaman untuk mengenali pertubuhan yang bukan ‘kongsi gelap melayu’. Salah faham ini harus diperbetulkan.” ujar Dato’ Awie.

Filem berdurasi 101 minit ini tampaknya mengeksploitasi habis kemampuan Ben Amir, MK K-Clique dan Azlan Komeng dalam menjayakan babak-babak aksi yang pada pendapat saya just nice. Kalau ada sedikit kekurangan pada saya ialah terlalu banyak babak aksi ‘slow motion’ yang ditonjolkan. Saya faham tujuan babak ‘slow motion’ itu diwujudkan tetapi apabila terlalu banyak, natijahnya penonton berasa pergerakan aksi terlalu perlahan walhal sepatutnya harus tampak lebih lincah dan tangkas untuk memacu adrenalin dan keterujaan penonton.

Selain itu, saya memuji keupayaan filem ini dalam memancing emosi penonton ketika menyelitkan babak-babak sedih antara Luka dan ibunya, antara Luka dan Kaseh dan antara Luka dan Pian. Emosi bercampur-baur antara marah dan sedih dalam kebanyakan babak menimbulkan rasa geram pada penonton. Dari segi ini, saya merasakan garapan Dato’ Awie cukup berhasil menyita perhatian penonton secara maksima. Lebih-lebih lagi untuk sebuah karya sulung.

Adegan lawan satu sama satu antara Luka dan Bono nampak begitu bad ass namun bagaikan tak cukup. Tak puas. Baru hendak panas punggung, filem telah bertemu pengakhiran sebegitu. Potong stim. Saya tidak mahu spoiler, anda semua wajib tonton dan nilaikan sendiri. Kalau menurut saya babak itu agak tergantung dan tidak sampai, memerlukan lebih lagi namun mungkin ada sebab mengapa sebegitu. Kita tunggu Rebel 2 mungkin? Ketika Luka nampak gagah dan kental karektor heronya dalam teknik dan stail seni beladiri, namun Bono nampak sedikit lembik. Hanya ketara kuat pengaruhnya apabila bersama geng jahatnya sahaja.

“Apa yang ingin dipaparkan dengan watak saya sebagai Pak Long Biring adalah tentang proses ‘baik pulih’ dalam sesebuah pertubuhan yang dipimpin oleh orang baik-baik dengan tujuan yang baik namun tidak dapat lari dari berlakunya sebarang kepincangan.” jelas Dato’ Awie. “Saya bukan menggalakkan sikap berontak atau ‘rebel’ itu dalam setiap jiwa seorang individu, namun keadilan harus ditegakkan. Tidak ada seorang manusia lahir-lahir nak jadi jahat. Mesti ada punca yang buat sikap berontak itu wujud. Itu intipati yang saya ingin tonjolkan dalam filem ini.”

Jom serang pawagam bermula 2 Mei 2024 ini, turut dibintangi Shikin Kamal, Nor Albaniah dan ramai lagi serta penampilah khas dari Kumpulan Wings. Setiap adegan aksi lebih banyak mengajak kita merasa cemas mahukan kemenangan aksi berpihak pada Luka. “Saya meletakkan harapan yang tinggi agar filem ini dapat diterima penonton. Tonton dulu apa yang ingin diceritakan dan dipersembahkan oleh Rebel: Berontak Untuk Berotak. Betulkan pemikiran negatif, buka minda. Untuk kali pertama mengarah, saya akui ada beberapa kelemahan dan kekurangan, tetapi saya akan perbaiki sekiranya berpeluang lagi pada masa akan datang.” bicara Dato’ Awie penuh harapan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page