Raya Bersama, Syawal Bermakna Meriahkan Plaza Shah Alam
Kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini tampil lebih bermakna apabila Plaza Shah Alam menganjurkan kempen Raya Bersama, Syawal Bermakna yang berlangsung dari 26 Februari hingga 12 Mac 2026.
Kempen ini bukan sekadar menghidupkan suasana perayaan dengan dekorasi tradisional dan aktiviti menarik, malah turut menyuntik elemen keprihatinan sosial menerusi penganjuran program kebajikan komuniti sepanjang Ramadan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Plaza Shah Alam akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Pertubuhan Kebajikan Ulul Azmi di Warung Koppi’s 70s yang melibatkan seramai 55 anak yatim dan asnaf.
Majlis ini diadakan bagi menyemai semangat kebersamaan selain berkongsi kegembiraan Ramadan dalam suasana penuh kasih sayang bersama komuniti setempat.
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan pelbagai aktiviti mingguan menarik seperti Senandung Irama Klasik, aktiviti seni dan kraf, Lenggok Beralun Tarian Tradisional serta program edaran bubur lambuk kepada pengunjung.
Acara kemuncak, Rentak Syawal pula dijangka menjadi tarikan utama apabila menampilkan persembahan daripada artis jemputan terkenal seperti Amir UK’s, Raihan dan Daqmie.

Dalam pada itu, pengunjung yang berbelanja di Plaza Shah Alam sepanjang kempen ini turut berpeluang menikmati pelbagai ganjaran eksklusif termasuk sampul raya, buku nota serta set cawan dan piring sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Ramadan dan Syawal dalam suasana penuh tradisi, kekeluargaan serta nilai kemanusiaan di Plaza Shah Alam.
