“Raya Bersama” Sentuh Jiwa, P. Radhi Hidupkan Semula Magis Syawal Klasik
Single Baharu Sarat Emosi, Imbau Kenangan Lama Dan Eratkan Silaturahim Aidilfitri
Bahang Aidilfitri tahun ini kian terasa dengan kemunculan single terbaharu P. Radhi berjudul “Raya Bersama”, sebuah karya yang menyuntik elemen nostalgia dan mengangkat keindahan sambutan Syawal penuh tradisi.
Mengalunkan melodi lembut berteraskan nuansa klasik, lagu ini seakan membawa pendengar pulang ke suasana Raya zaman dahulu daripada keceriaan pagi Syawal, deretan juadah tradisional di meja makan, hinggalah detik penuh makna bersama keluarga tercinta. Tidak sekadar menghibur, lagu ini turut menyelitkan mesej penting tentang kemaafan dan permulaan baharu yang lebih suci.
Menariknya, “Raya Bersama” merupakan hasil ciptaan komposer muda Firdaus Rashid di bawah naungan Luncai Emas, sekali gus memperlihatkan gabungan idea segar dengan sentuhan muzik klasik yang malar segar.
Single ini juga menjadi kesinambungan perjalanan seni P. Radhi selepas kejayaan “Gadis Chantek” pada 2024 ciptaan M. Nasir, selain projek rakaman semula lagu-lagu malar segar seperti “Tiara” dan “Suatu Masa” yang pernah mencuri perhatian peminat.

Menurut P. Radhi, lagu ini hadir dengan harapan untuk menyatukan hati masyarakat.
“Saya harap lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi mampu mengeratkan ukhwah dan menceriakan suasana Aidilfitri kita semua,” katanya.
Nama P. Radhi bukan asing dalam membawa genre klasik, malah gaya vokalnya sering dikaitkan dengan kehebatan legenda P. Ramlee. Namun begitu, beliau tetap mengekalkan identiti tersendiri yang memberikan nafas baharu kepada karya berunsur retro.
Sebagai Juara Bintang P. Ramlee Kebangsaan 2016, P. Radhi terus membuktikan keupayaannya menghidupkan semula roh muzik klasik agar kekal relevan dalam landskap muzik masa kini.
Dengan sokongan Luncai Emas sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta, “Raya Bersama” kini sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital serta YouTube rasmi mereka.
