September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ratu OST Adira Kembali Dengan ‘Kasih’ Untuk Filem Memoir Seorang Guru

2 min read
Spread the love

Adira Suhaimi, seorang penyanyi dari Malaysia yang diberi jolokan ‘Ratu Soundtrack’ di negara asalnya sendiri kini telah kembali bergiat dengan merakamkan sebuah lagu yang juga merupakan runut bunyi bagi filem ‘Memoir Seorang Guru’. Lagu itu telah diterbitkan oleh Nova Music hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman dan diberikan judul ‘Kasih’.

Kredibiliti dimiliki penyanyi Adira Suhaimi dalam industri muzik tanahair tiada siapa boleh pertikai dan dia berjaya mencorak kanvas seni tersendiri dengan bakat yang dimiliki. Malah, aura bintang itu sudah terpancar sejak di awal kemunculan kerjaya beliau dan selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.

Adira juga berkata yang dia bernasib baik kerana dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem terbaharu kerana sebagai penyanyi, dia selesa sahaja menyanyikan sebarang lagu asal sesuai melodi dan liriknya dengan suaranya.

“Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan karya lagu diterima itu memang sedap didengar. Ia sebuah karya yang menggamit kenangan buat bekas pelajar yang pernah berguru dengan guru-guru yang garang dan tegas.

“Kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepada saya untuk merakamkan sesebuah lagu tidak akan saya ambil mudah. Oleh itu, saya akan pastikan beri komitmen penuh pada tanggungjawab yang diberi.

“Saya hanya mampu mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala peluang yang diberi. Bagi saya, menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman sesebuah lagu,” katanya di dalam sebuah kenyataan akhbar.

Tidak kisah dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’, Adira yang juga pernah menjadi naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan itu hanya mahu kekal relevan dalam era muzik semasa. Selain daripada itu, beliau juga menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di panggung wayang, kaca televisyen atau radio. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu yang dinyanyikan.

“Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian. Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di kaca televisyen memerlukan kos yang tinggi. Jadi bila sesebuah lagu kerap dimainkan di dalam filem atau drama rantaian mudah bagi lagu itu melekat di jiwa penonton,” katanya.

Video muzik lagu “Kasih” kini boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/p86rNp0NWNM manakala filem ‘Memoir Seorang Guru’ bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei ini. Filem adaptasi novel Azizi Hj Abdullah tersebut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

Filem arahan Kyoll Hamzah itu juga diterbitkan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page