Randai MacBeth dan Lagenda Seni Bersinar di BOH Cameronian ke-20

Malam berprestij dan penuh makna, Anugerah Seni BOH Cameronian ke-20 (20BCAA) berlangsung meriah pada 4 Mei lalu di Panggung Peringkat 1, Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), menandakan pencapaian penting dalam landskap seni persembahan Malaysia.
Selama dua dekad, ‘Cammies’ telah menjadi platform utama mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam bidang teater, tarian, muzik dan teater muzikal. Dengan tema “20 Years of Legacy: Igniting Inspiration for Tomorrow”, edisi ulang tahun ini memberi penghormatan kepada para perintis serta menyemarakkan harapan untuk generasi seniman masa depan.
Antara sorotan malam itu ialah pencapaian mengagumkan Randai “MacBeth” oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), ASWARA, yang menggondol tujuh anugerah termasuk kategori utama Produksi Terbaik 2024. Dalam kategori teater lain, The Bee turut menjadi sebutan melalui pencalonan dan persembahan yang mengesankan.

Kategori Tarian menyaksikan detik penuh emosi apabila Geetha Shankaran-Lam, 56, merangkul anugerah Pelakon Pilihan Terbaik/Utama menerusi persembahan dalam Samskara: Past Reflections, Present Expressions oleh GSD Performing Studio – membuktikan bahawa keunggulan seni tiada batas usia.

Dalam Muzik, dua nama terbilang diraikan: Dr. Bernard Tan memenangi Arahan Muzik Terbaik manakala Dr. Poom Prommachart diiktiraf menerusi anugerah Persembahan Solo Terbaik – Instrumental. Kedua-dua tokoh ini bukan sahaja penghibur berbakat tetapi juga akademik yang memperkaya dunia muzik tanah air.
Sementara itu, teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa berjaya memenangi empat anugerah, menyerlah menerusi penceritaan kreatif dan persembahan yang memikat penonton.

Anugerah Produksi Terbaik 2024 diberikan kepada tiga produksi unggul iaitu Randai “MacBeth” – Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), ASWARA. Spice, Magic and Mystique – The Young KL Singers, dibawakan oleh TAS Seni Teater Rakyat dan klpac serta Teater Persiapan Seorang Aktor – Studio Sedar Ruang
Lebih istimewa, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat BOH Cameronian disampaikan kepada Profesor Dr. Tan Sooi Beng dari Universiti Sains Malaysia. Sumbangan beliau dalam bidang etnomusikologi telah meninggalkan kesan mendalam dalam pendidikan dan pemeliharaan budaya muzik Malaysia.

“Adalah satu keistimewaan bagi BOH untuk menyaksikan pertumbuhan dan semangat komuniti seni persembahan Malaysia sepanjang dua dekad ini. Kami mengangkat secawan BOH Cameronian Gold Blend sebagai penghormatan kepada legasi ini dan masa depan yang terus menginspirasikan.”ujar Caroline Russell, Pengerusi Eksekutif BOH Plantations
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan; ia adalah jambatan kepada masa depan seni Malaysia – ruang untuk penemuan, penghargaan dan pertumbuhan.” Low Ngai Yuen, Presiden Kakiseni,

Dengan sokongan padu daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), BOH Plantations, Yayasan Sime Darby, Taylor’s University, A Cut Above, Sephora dan Capri Communications, Anugerah Seni BOH Cameronian terus menjadi simbol kecemerlangan seni persembahan negara.
Untuk maklumat lanjut dan senarai penuh pemenang, layari www.kakiseni.org/awards dan ikuti perkembangan terkini di media sosial @kakiseni.