Raja Rimba ‘Hidup’ Di Kl!The Lion King Live In Concert Himpun Magis Filem & Orkestra Bertaraf Dunia
Pengalaman sinematik yang menggabungkan nostalgia dan kehebatan muzik bakal mewarnai ibu negara apabila produksi berprestij, Disney’s The Lion King Live in Concert, dipentaskan buat julung kalinya di Malaysia, Jun ini.
Dipersembahkan oleh Milestone Production, acara ini menjanjikan dimensi baharu kepada peminat filem klasik The Lion King apabila tayangan penuh di layar gergasi diiringi muzik secara langsung oleh National Symphony Orchestra (NSO) Malaysia.

Lebih istimewa, persembahan ini dipimpin konduktor residen, Eric Lee, yang bakal mengemudi lebih 60 pemuzik dalam menterjemahkan skor epik ciptaan Hans Zimmer secara langsung di hadapan penonton.
Konsert ini dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 13 Jun 2026 dengan dua sesi persembahan iaitu jam 2.30 petang dan 8 malam.
Mengangkat kekuatan muzik yang pernah memenangi Anugerah Akademi, karya ini turut menampilkan sentuhan kreatif barisan legenda termasuk Elton John dan Tim Rice, selain susunan vokal Afrika oleh Lebo M yang memberi identiti unik kepada runut bunyi filem ini.



Filem ini mengisahkan perjalanan Simba, pewaris takhta yang terpaksa melalui episod hitam akibat pengkhianatan Scar sebelum bangkit menuntut kembali haknya. Naratif penuh emosi ini terus kekal relevan merentas generasi, menjadikan ia antara karya animasi paling berpengaruh sepanjang zaman.
Menurut penganjur, pementasan ini bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah pengalaman imersif yang menggabungkan visual klasik dengan kekuatan bunyi orkestra secara langsung, sekali gus membawa penonton ‘menyelami’ dunia savana Afrika dengan lebih mendalam.
Penganjuran ini juga dilihat selari dengan kempen Visit Malaysia 2026 dalam memperkukuh landskap seni dan hiburan tempatan ke tahap antarabangsa.

Dalam pada itu, United Overseas Bank (UOB) Malaysia tampil sebagai rakan bank rasmi, menawarkan keistimewaan pembelian awal serta diskaun sehingga 25 peratus kepada pemegang kad mereka di beberapa negara Asia Tenggara.
Jualan tiket dibuka secara berperingkat bermula dengan presale khas UOB pada 25 hingga 31 Mac 2026, sebelum jualan umum bermula 1 April 2026, jam 11 pagi.
Harga tiket ditawarkan dari RM168 hingga RM638, tidak termasuk caj pemprosesan dan cukai berkaitan.
