November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rainforest World Music Festival 2023 bermula hari ini

Spread the love

Pesta muzik tahunan Rainforest Music Festival (RWMF) 2023 telah bermula hari ini dan seperti biasa ianya memaparkan penampilan artis-artis yang memainkan dan mempersembahkan muzik yang berelemenkan muzik tradisional dan penggiat seni yang juga menengahkan seni yang mempunyai elemen seni tradisional dari seluruh dunia.

RWMF tahun ini juga akan diadakan semula dalam bentuk ‘fizikal’ sepenuhnya bermula hari ini (23 Jun) sehingga 25 Jun dan Kampung Budaya Sarawak, Kuching telah menjadi tempat dimana pesta tersebut berlangsung.

Pesta RWMF 2023 bermula hari ini dan pesta tersebut akan menampilkan sejumlah 199 pemuzik dari 12 negara, merentasi lebih daripada 3 benua.

Sebelum tahun ini, pesta ini hanya diadakan secara maya (‘online’) pada tahun 2021 dan ‘hibrid’ (separa maya, separa fizikal) pada tahun lepas, berikutan ancaman pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Pesta RWMF yang ikonik menandakan kepulangan sepenuhnya tahun ini dan akan menampilkan barisan penghibur terkenal dunia yang tidak pernah dilihat sebelum ini di Sarawak,” kata para penganjur pesta tersebut di laman web rasmi mereka.

Jadual penuh persembahan untuk RWMF 2023

Acara pada tahun ini juga akan menampilkan sejumlah 199 pemuzik dari 12 negara, merentasi lebih daripada 3 benua untuk mempersembahkan pelbagai rentak muzik yang bersesuaian dengan tema RWMF.

Diantara artis yang akan membuat kemunculan pada RWMF tahun ini adalah pemenang Anugerah Grammy Gipsy Kings, Tonino Baliardo dari Perancis, Big Mountain dari Jamaica/ Amerika Syarikat, Teater Safi dari Tanzania, Rastak dari Iran, Fasylive dari Maldives, Afriquoi dari United Kingdom, Chatusram dari India, Rizal Hadi & Folk dari Indonesia dan Ethno Thai Fusion Sound Band dari Thailand.

“Selain daripada itu, barisan untuk RWMF tahun ini juga akan menyaksikan penampilan penghibur-penghibur dari Jepun, Hong Kong dan Singapura,” kata penganjur.

Harga-harga tiket untuk RWMF 2023

RWMF adalah sebuah pesta muzik tahunan yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Malaysia semenjak tahun 1998. Ciri-ciri utama pesta ini adalah ianya menampilkan pelbagai persembahan daripada artis-artis dari seluruh dunia yang membawakan pelbagai muzik yang berelemenkan sama ada tradisional ataupun gabungan kontemporari tradisional dan moden.

Di samping meraikan kepelbagaian muzik dunia, RWMF biasanya akan turut dimeriahkan dengan bengkel muzik pada siang hari, pameran kebudayaan, pameran kraf, gerai makanan dan konsert pada sebelah malam yang merupakan acara utama.

Bermula dengan hanya beberapa ratus orang penonton pada tahun 1998, pesta ini telah berkembang menjadi pesta muzik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menerima pelbagai anugerah yang mana diantaranya; Perayaan Antarabangsa Terbaik yang dianugerahkan oleh Majalah Songlines selama enam tahun berturut-turut (dari tahun 2010 hingga 2015).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page