Que Haidar Kembali Beraksi Dalam Drama Siri Selepas 16 Tahun
Selepas 16 tahun menyepi daripada drama bersiri, pelakon berkaliber Que Haidar akhirnya membuat kemunculan semula di kaca televisyen menerusi naskhah terbaharu berjudul Pak Su Ammara, terbitan Global Station Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di Astro Ria.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar bukanlah asing dalam industri seni tanah air. Pelakon berusia 46 tahun itu telah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak awal 2000-an dan pernah meraih pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Castello.
Menurut Que, keputusan untuk kembali berlakon dalam drama bersiri bukan sesuatu yang mudah memandangkan beliau sebelum ini lebih selesa terlibat dalam filem dan projek terpilih sahaja.
“Saya sudah 16 tahun tidak mengambil tawaran bermain dalam drama bersiri. Namun kali ini pihak penerbit serta Astro berjaya memujuk saya untuk kembali bermain dalam karya berepisod,” katanya.

Tambahnya, antara faktor utama beliau menolak drama bersiri sebelum ini adalah kekangan masa yang menyukarkan pelakon untuk benar-benar menghayati watak.
“Dalam drama siri, kami perlu menjalani banyak babak dalam sehari. Ia membuatkan saya rasa tidak sempat menyerap sepenuhnya tenaga dan emosi watak yang diberikan.
“Namun untuk Pak Su Ammara, dengan bimbingan pengarah Azri Izhar serta sokongan seluruh pasukan produksi yang memberi tenaga positif, saya benar-benar seronok terlibat,” ujarnya.
Dalam drama ini, Que membawakan watak Firdaus atau Pak Su, seorang lelaki yang menjadi tonggak penting dalam perjalanan hidup watak utama wanita. Beliau turut menyatakan keterujaannya dapat bergandingan dengan aktres Ummi Nazeera.
“Saya ambil tawaran ini kerana mahu bekerja dengan Ummi Nazeera. Beliau banyak membantu saya. Selain itu, saya juga dibantu oleh pelakon handalan seperti Dian P Ramlee serta pelakon yang membawa watak Ammara yang turut memberikan lakonan sangat baik,” katanya.

Mengakui perasaan gugup kembali ke set penggambaran drama bersiri selepas sekian lama, Que bagaimanapun menegaskan beliau kekal profesional dan bertekad memberikan yang terbaik.
“Memang saya sangat berdebar terutama pada hari pertama penggambaran. Saya berdoa agar jika kembali berlakon drama bersiri, saya dikelilingi orang-orang baik dengan tenaga positif.
“Alhamdulillah, doa itu dimakbulkan. Jadi apabila sudah bersetuju, saya tidak boleh tarik ‘handbrake’. Saya akan lakukan yang terbaik untuk Pak Su Ammara,” katanya.
Pak Su Ammara mengisahkan Hamiza, seorang guru prasekolah yang terperangkap dalam perkahwinan toksik. Dalam keadaan hamil, Hamiza mengambil keputusan meninggalkan perkahwinannya dan meneruskan hidup sebagai ibu tunggal. Sepanjang perjalanannya, beliau berkenalan dengan Firdaus, bapa saudara kepada salah seorang muridnya, Ammara Rose.
Drama 20 episod ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Ummi Nazeera, Syazwan Zulkifly dan Dian P Ramlee, dan dijadualkan mula bersiaran di Astro Ria pada 5 Januari 2026.
