December 17, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Puspa Indah Suntik Nafas Baharu ‘Madah Dan Kerenah’ Karya M. Nasir & S. Amin Shahab

Spread the love

Penyanyi muda berbakat dari Padang, Indonesia, Puspa Indah mengorak langkah penting dalam kerjaya seninya apabila tampil merakam semula lagu klasik “Madah Dan Kerenah”, karya ciptaan dua maestro muzik Nusantara, Datuk M. Nasir dan S. Amin Shahab, yang juga pencipta lagu ikonik Isabella dan Suci Dalam Debu.

Lagu yang pernah dipopularkan oleh Ramlah Ram sekitar era 1980-an dan 1990-an itu kini diberikan nafas baharu menerusi interpretasi vokal Puspa Indah yang lembut namun bertenaga, selari dengan cita rasa pendengar generasi baharu tanpa menghilangkan roh asal karya tersebut.

Puspa Indah Armydea, finalis Liga Dangdut Indosiar (LIDA) 2020, meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Syukur, pembikinan semula ‘Madah Dan Kerenah’ ini diterbitkan oleh label antarabangsa Luncai Emas di Malaysia, manakala di Indonesia ia diedarkan dengan kerjasama Dua Suara Media. Ini satu pengalaman besar buat saya,” katanya.

Menurut Puspa Indah, projek remake ini tercetus hasil inisiatif Luncai Emas apabila produser dari Padang, Hardo Maret, menjalin kerjasama khas bersama label berkenaan bagi merakamkan lagu tersebut. Pemilihan Puspa Indah dibuat berdasarkan keunikan vokal dan kesesuaian karakternya untuk membawa karya berkenaan.

“Saya amat berbangga diberi peluang menyampaikan lagu ciptaan dua seniman legendaris, M. Nasir dan S. Amin Shahab. Projek ini menjadi langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya,” tambahnya.

Proses rakaman audio dan pembikinan video muzik dijalankan sepenuhnya di Padang, Sumatera Barat, dengan sentuhan produksi moden oleh Hardo Maret bersama pasukannya, Ibel Santano, Iwan Romeo dan Rozac Tanjung. Pendekatan ini memastikan versi baharu lagu kekal segar dan relevan, tanpa mengorbankan emosi asal yang menjadi kekuatan karya tersebut.

Sementara itu, penggambaran video muzik pula berlangsung di jeti perairan Bungus, Sumatera Barat, diterbitkan oleh Limbago Team, menampilkan visual sinematik yang melengkapkan nuansa romantik lagu.

Langkah ini sekali gus mengukuhkan usaha Luncai Emas dalam memperluas pengaruh karya komposer Malaysia ke pasaran Indonesia. Antara kejayaan terdahulu di bawah hak cipta label itu termasuk Tiara ciptaan M. Nasir yang kembali popular menerusi Raffa Affar, Suci Dalam Debu ciptaan S. Amin Shahab, serta Isabella yang terus menjadi siulan di Nusantara.

Datuk M. Nasir, selaku pengasas dan pemilik Luncai Emas, menyatakan harapannya agar versi baharu ini mampu mengulangi kejayaan terdahulu.

“Dengan pelancaran semula ‘Madah Dan Kerenah’ oleh Puspa Indah di Malaysia dan Indonesia, saya berharap lagu ini kembali menjadi siulan dan relevan untuk generasi hari ini,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi oleh Sandy Monteiro, Presiden Pengarah Dua Suara Media.

Single “Madah Dan Kerenah” kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Dua Suara Media, manakala versi audio boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page