November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Purge: Sebuah Peringatan Godflesh Kepada Pure

Spread the love

Selepas mengeluarkan album berjudul ‘Post Self’ pada tahun 2017, kumpulan industrial metal tersohor Godflesh mengambil masa enam tahun untuk mengeluarkan sebuah album susulan kepada album itu dan album susulan tersebut telah keluar pada bulan Jun tahun ini (2023) yang diberikan judul ‘Purge’. Jika pendengar medapati lagu-lagu dalam album Post Self yang dikeluarkan pada 2017 mempunyai elemen muzik industrial berwarna-warni yang diserlahkan oleh produksi yang bersih, kebanyakan lagu dalam Purge pula tampil dengan bunyi yang lebih lembap dan hilang semua rasa kecerahan padanya.

Selepas mendengar album ini, apa yang didapati menarik tentang album ini adalah kebanyakan lagu-lagu di dalam album ini adalah mirip lagu-lagu Godflesh yang ada pada album mereka berjudul ‘Pure’ yang dikeluarkan pada tahun 1992. Godflesh walau bagaimanapun tidak terlalu meniru formula mereka untuk album Pure secara keseluruhannya untuk Purge, kerana di dalam album Purge terdapat juga elemen-elemen dari album Godflesh yang lain seperti ‘Streetcleaner’ (dikeluarkan pada tahun 1989) dan ‘Songs of Love and Hate’ (dikeluarkan pada tahun 1996) yang juga turut boleh didengari di dalam album ini.

Album Purge ini memperluaskan landskap muzik Godflesh yang boleh didengari daripada album Pure itu dengan meningkatkan keberatan muzik Godflesh dengan ketara melalui lapan lagu yang mengagumkan dan menggemparkan. Menurut penulis lagu utama kumpulan itu, Justin K Broadrick, di dalam sebuah sesi temuramah sebelum ini, album ini juga agak peribadi bagi dirinya kerana baru-baru ini dia telah didiagnosis dengan keadaan autisme dan post-traumatic stress disorder (PTSD), sebuah gangguan mental yang muncul setelah seseorang mengalami atau menyaksikan pengalaman yang dahsyat.

Justin (kanan) dilihat bersama salah seorang lagi anggota kumpulan Godflesh, G.C. Green di dalam gambar ini yang diambil oleh Kim Sølve.

Terbahagi kepada dua bahagian, pengalaman mendengar awal Purge datang seakan-akan sebuah gabungan elemen album-album Pure, Streetcleaner dan Songs of Love and Hate mereka di mana bahagian pertama album ini mempunyai lagu-lagu yang mempunyai sampel yang berulang-ulang, bass yang berbunyi gemuruh dan petikan gitar menarik Justin yang sememangnya salah satu daya tarikan utama untuk para peminat lagu-lagu Godflesh. Lagu-lagu di dalam bahagian pertama album Purge ini mungkin boleh membuatkan seseorang itu mempunyai keinginan untuk menari dan meluahkan emosi secara fizikal.

Pada bahagian kedua Purge pula, seseorang akan dapat mendengar inspirasi yang diambil dari Pure dengan lebih jelas kerana lagu-lagu di bahagian kedua album itu memberikan pengalaman yang sangat berbeza berbanding bahagian pertama album ini. Daripada memfokuskan pada sisi gelap dan tafsiran marah terhadap muzik “dance” yang boleh didgengari di dalam bahagian pertama album Purge ini, bahagian kedua album ini menunjukkan tekstur berbeza pada lagu-lagu mereka dengan suara Justin yang bergema merupakan ciri utama lagu dalam bahagian kedua album ini.

Dengan ciri-ciri bunyian gaya riff gitar yang tebal, dipadukan bersama bunyi-bunyian mesin dram mekanikal dan vokal jeritan Justin, Purge sememangnya sebuah album Godflesh. Oleh kerana itu, apabila seseorang mendengar album ini, seseorang itu mungkin dapat merasai bahawa Purge cuba untuk menjadi kesinambungan kepada Pure kerana banyak lagu-lagu di dalam Purge menggunakan rentak ala hip-hop dan teknik lain untuk mengembangkan idea Justin untuk komposisi lagu beliau di dalam Purge.

Jika benar Godflesh ingin mengembalikan nostalgia album Pure mereka di dalam album Purge ini, mereka bukan sahaja melakukan kerja yang baik untuk mengingati semula nada dan suasana umum di dalam album Pure, tetapi mereka melakukan pekara yang sama untuk album-album terdahulu mereka seperti Streetcleaer dan Songs of Love and Hate juga.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page