September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Puncak Kasih Ziana Zain Julung Kali Dipentaskan Tahun Hadapan

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Hampir 22 tahun lamanya tidak beraksi lincah di atas sebuah panggung bersifat mega, Ziana Zain bakal mementaskan konsert solo julung kalinya dan bakal mencipta sejarah dalam perjalanan puncak karier seni beliau sekian lama. Memilih tanggal 25 Mei 2024, konsert yang dibawakan khas oleh CSA Academy selaku penaja utama konsert, anjuran bersama Anuar Zain Network dan Ziana Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse.

“Disebabkan kebanyakan venue lain dah fully-booked, saya tak mahu menunggu lebih lama lagi. Tunggu punya tunggu, lama-lama nanti tak jadi pula. Saya rasa Mega Star Arena KL merupakan venue yang cukup gah, jadi why not? So pihak penaja dan penganjur lock terus tarikh dan tempat kerana banyak lagi agenda lain yang perlu disusun.” ujar Ziana Zain pada pagi 13 Disember ketika ditemui di sidang media bagi mengumumkan tentang sari berita terpenting tentang ‘Ziana Zain Konsert 2024’ ini.

Konsert ‘Ziana Zain In The Park’ pada tahun 2001 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur merupakan konsert solo terakhir Ziana Zain. Satu jangkamasa yang sangat lama, maka sesuailah sekiranya 2024 mengubat kerinduan ramai untuk menyaksikan kelincahan Diva Pop Malaysia ini beraksi, akhirnya bakal terlaksana. Berganding bahu bersama nama-nama besar seperti Aubrey Suwito selaku Pengarah Muzik, Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert dan barisan 16 orang pemuzik professional, Ziana Zain melahirkan rasa syukur yang tak terhingga kerana berpeluang bekerjasama dengan mereka sebagai satu pasukan.

Revolusi seorang permata seni negara yang memahatkan seluruh jiwa dan raganya pada industri penuh pancaroba ini akan dapat dilihat dengan persiapan teliti dan sangat rapi. Meski kehadiran ramai pendatang baru silih berganti, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain ini terus gah dihormati dan disegani sebagai ikon seni yang memiliki vokal ‘trademark’ tersendiri, sehinggakan apabila beliau mula menyanyi secara automatis vokalnya dapat dikenali hanya pada note yang pertama, begitu sekali penangannya. Bukan sesuatu yang mudah untuk merealisasikan konsert ini, Ziana Zain tidak melihat pada berapa besar pulangan yang akan diperolehi tetapi sangat terperinci mengenai konsep, stamina serta kepuasan yang bakal dihadiahkan buat para peminatnya kelak.

“Bagi saya, yang paling penting adalah kesihatan, kedua adalah stamina, ketiga adalah latihan dan keempat kita serahkan pada stylist kita. Apa yang paling penting mesti semuanya dalam keadaan sihat tubuh dan jiwa, baru semua perancangan menjadi. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik.” bersungguh-sungguh Ziana Zain menekankan disitu. “Perasaan saya bercampur-baur. Gembira, nervous, sedih pun ada dan sangat bersyukur. Sudah lama saya menunggu, alhamdulillah termakbul jua walaupun dah 20 tahun lebih.” Ziana Zain yang tampil elegan berbusana rona beige keemasan kelihatan sebak dan mengesat airmata ketika video surprise ucapan dari anak-anaknya Aiman, Amar, Kasih dan Airil, ditayangkan di skrin layar lebar.

Sementara itu, Anuar Zain selaku penganjur konsert dilihat akrab bersama kakaknya, sentiasa berpegang tangan, memeluk rapat sebagai tanda sokongan padu seorang adik pada kakaknya. Sangat yakin dengan kewibawaan kakaknya, beliau  tentunya meletakkan ekspetasi konsert pada tahap sold out tetapi dalam masa yang sama memberi fokus yang lebih kepada persiapan dan elemen surprise yang direncanakan mengisi slot-slot pada pementasan konsert solo Ziana Zain kali ini.

“Anuar adalah kekuatan saya. Saya terlibat dalam bidang nyanyian pun kerana Anuar.” cerita Ziana Zain sambil memeluk adiknya. “Saya menggantikan Anuar pada satu jemputan persembahan kerana sebab yang saya pun dah tak ingat, tapi sejak dari itu saya terus menyanyi sehingga sekarang. Tidak menoleh ke belakang lagi.”

Sambil tersenyum bangga, beliau menyambung “Saya hairan dan kagum tengok adik saya. Sambil belajar, menyanyi lagi. Kuat betul semangat dia. Berbekalkan semangat itu serta pesan nasihat dari bapa saya, Pak Zain yang tidak putus-putus, maka berada nya saya di sini. Alhamdulillah”

Pada usia 55 tahun, masih terlihat cantik sama seperti dulu, bersama karektor humble dan ramah-mesra, Ziana Zain mempersembahkan sebuah lagu “Puncak Kasih”  pada pagi itu sebagai cenderahati buat yang merindui kemunculan nya setelah hiatus sekian lama. Tetap mantain dengan vokal padu bernada tinggi, masih kekal carta tertinggi dalam hati setiap peminat setia yang tidak sabar menantikan konsert pada 25 Mei 2024 nanti, lambang perjuangan Ziana Zain selama 3 dekad bergelumang dalam industri seni. Pastikan anda tidak terlepas momen-momen indah yang bakal dipersembahkan.

Bersama akhirnya kita Menadah Gerimis untuk ke Puncak Kasih Ziana Zain di Sangkar Cinta yang Melara Jiwa dengan membeli tiket menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/zianazain mulai 15 Disember 2023 jam 10 pagi. Jom segera beli tiket, jangan sampai anda yang rugi. Pastinya konsert solo Ziana Zain kali ini sangat teristimewa dan bakal meninggalkan Syurga Di Hati Kita.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page