April 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

PTTI Group Raikan Anak-Anak Yatim dalam Program Santunan Ramadan

Spread the love

Demi menyemarakkan semangat Ramadan, PTTI Group Sdn. Bhd. menganjurkan program kebajikan Santunan Ramadan: Berbagi Kebahagiaan dengan membawa keceriaan kepada anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez (RAF). Inisiatif tahunan ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara PTTI dan komuniti setempat.

Seramai 26 anak-anak RAF, berusia antara 3 hingga 17 tahun, dibawa membeli pakaian raya di SOGO Kuala Lumpur. Momen istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran duta PTTI, Iman Troye dan MK K-Clique, yang meluangkan masa bersama mereka sepanjang sesi membeli-belah.

Menurut Timbalan Naib Presiden Komunikasi Strategik PTTI, Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid, program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang diadakan setiap tahun sejak penubuhannya pada 2015.

“Sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi program ini, termasuk pembelian pakaian, kasut serta sumbangan duit raya untuk anak-anak RAF. Kami berharap inisiatif ini bukan sahaja menceriakan mereka tetapi juga memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam usaha kebajikan,” katanya.

Selepas sesi membeli-belah, anak-anak RAF diraikan dalam majlis berbuka puasa di Nando’s, SOGO Kuala Lumpur. Mereka turut dihiburkan dengan persembahan khas daripada Iman Troye dan MK K-Clique, menjadikan suasana lebih meriah dan penuh kegembiraan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTTI Group Sdn. Bhd., Puan Siti Farhana Abu Osman, serta Ketua Pegawai Operasi (COO), Encik Muhd Habibunajar Sazali, yang menyampaikan duit raya kepada anak-anak RAF sebagai tanda penghargaan.

PTTI Group Sdn. Bhd. turut merakamkan penghargaan kepada SOGO Kuala Lumpur atas layanan mesra sepanjang sesi membeli-belah, serta Nando’s Malaysia kerana menyediakan hidangan berbuka puasa yang istimewa.

Melalui Santunan Ramadan: Berbagi Kebahagiaan, PTTI terus komited dalam usaha menyebarkan kebaikan serta memberikan impak positif kepada masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik. PTTI berharap agar inisiatif ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kebajikan di masa hadapan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page