POP UP MUZIK: Armada & Batas Senja Bakal Gegar Kuala Lumpur Oktober Ini

Satu lagi inisiatif segar dunia hiburan diperkenalkan apabila Hype Live berganding dengan Black Sky Enterprise untuk menganjurkan POP UP MUZIK, sebuah platform muzik rentas negara yang menjanjikan pengalaman lebih intim, interaktif dan eksklusif antara artis Asia dengan peminat Malaysia.

Edisi sulung POP UP MUZIK akan berlangsung pada 17 Oktober 2025 di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan dua nama besar dari Indonesia – Armada, band legenda dengan deretan lagu malar segar, serta Batas Senja, kumpulan muda yang kian mencuri hati pendengar dengan karya puitis penuh emosi.
“Kami tahu peminat di Malaysia sudah lama merindui peluang untuk berinteraksi lebih dekat dengan artis kegemaran mereka dari luar negara. POP UP MUZIK adalah jawapan kepada kerinduan itu – sebuah platform yang memberikan pengalaman peribadi dan mesra bersama artis, termasuk sesi Meet & Greet dan peluang bergambar eksklusif,” kata Dipta, Ketua Pegawai Eksekutif Hype Live pada sidang media pelancaran.

Sementara itu, penerbit bersama POP UP MUZIK, Willy Dozan dari Black Sky, yakin pemilihan dua band ternama ini bakal memberikan impak besar.
“Pihak kami bersyukur dengan sambutan hangat yang diberikan oleh penggemar terhadap Armada dan Batas Senja. Kami tidak meragukan bahawa persembahan kali ini akan menghiburkan dan meninggalkan memori indah buat pengunjung di Zepp Kuala Lumpur nanti,” jelasnya.

Armada dijangka menggegarkan pentas dengan lagu-lagu hit seperti Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi, manakala Batas Senja bakal menyentuh jiwa penonton dengan karya indah seperti Nanti Kita Seperti Ini, Kita Usahakan Lagi, dan Menceritakanmu.
Dengan gabungan tenaga bertenaga Armada serta sentuhan emosi Batas Senja, POP UP MUZIK bakal mencipta satu malam penuh warna, harmoni dan magis yang sukar dilupakan.

Tiket kini boleh didapati di HYPELIVEMY.TIXR.COM/POPUPMUZIK. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini!