September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘PJ LOVE U’ Tema Sambutan Ulang Tahun Ke 17 Bandaraya Petaling Jaya

3 min read
Spread the love

Petaling Jaya 26 Jun – “PJ Love U” diangkat menjadi tema sambutan ulang tahun ke-17 Bandaraya Petaling Jaya sebagai bandaraya menerusi pelaksanaan 21 program sepanjang Jun ini.  Untuk rekod pengisytiharan rasmi Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya dibuat pada 20 Jun 2006.

Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir berkata, sambutan tahun ini meliputi pelbagai program berbentuk jualan, pameran, pertandingan, kejohanan, sumbangan termasuk perkhidmatan percuma yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

“Tahun 2023 ini merupakan tahun yang ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandar raya. ‘PJ Love U’ diangkat sebagai tema untuk menzahirkan rasa kasih sayang MBPJ kepada seluruh penduduk di Bandaraya Petaling Jaya khasnya dan penduduk negeri Selangor serta Malaysia amnya”, ujarnya.

Selain itu Bandaraya Petaling Jaya diangkat sebagai wilayah pelaksana bagi membangunkan Kota Seni dalam usaha meningkatkan penglibatan sektor ekonomi kreatif tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan berkata, buat julung kalinya juga pertandingan acara perarakan turut diadakan pada majlis perasmian.  Ia membabitkan pelbagai kategori iaitu agensi atau badan kerajaan, badan korporat, majlis perwakilan serta persatuan penduduk dan pusat pengajian tinggi.

“Pertandingan acara perarakan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500, selain sijil dan hadiah iringan.   Pelaksanaan program itu juga  turut tertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D’Kelana selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52.

“Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat MBPJ menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandaraya Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelasnya.

“Selain mengimpikan Bandaraya Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi pihak berkuasa tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Bandaraya Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta.

“Kenalilah Bandaraya Petaling Jaya ini sebagai satu bandaraya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, ‘PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030,” tambah beliau.

Sementara itu, Exco Pelancongan Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, Pusat Bandar Seksyen 52 telah dipilih sebagai lokasi pengisian bagi program tersebut di Selangor.

Menurutnya, pusat bandar itu akan dijadikan sebagai ‘one stop centre’ kepada peminat seni berpotensi sebagai aset besar yang perlu dimaksimumkan bahkan membantu meningkatkan kualiti warga Bandaraya Petaling Jaya.

“Saya difahamkan, tahun ini juga merupakan tahun kedua penganjuran majlis perasmian sempena sambutan ke-17 Bandaraya Petaling Jaya dan diadakan secara besar-besaran.

Pemenang Keseluruhan acara perarakan Ulang Tahun ke-17 Bandaraya Petaling Jaya.

“Seperti penganjuran tahun lalu, Pusat Bandar Seksyen 52 sekali lagi dijadikan sebagai lokasi utama selaras dengan hasrat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menceriakan dan mewarnai pusat bandar ini.  Keceriaan tersebut diwarnai melalui pelbagai aktiviti sosial dan kesenian seterusnya mempertingkatkan kualiti fizikal bandar terutamanya di pusat bandar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Bandaraya Petaling Jaya di Laman MBPJ yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir di sini pada 24 Jun lalu.

Loy Sian menambah, beliau turut yakin dengan adanya penganjuran program seperti itu di Bandaraya Petaling Jaya akan menarik minat lebih banyak sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peniaga-peniaga tempatan untuk turut serta.

“Ini seterusnya dapat mempromosikan produk pelancongan dan perkhidmatan yang ada di Bandaraya Petaling Jaya ke peringkat kebangsaan dan global,” tambahnya lagi.

Kemuncak sambutan adalah  apabila diserikan dengan persembahan istimewa Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, di samping Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page