November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pesta ‘Rona Ungu’ Warnai Malam Mayapada 30 Hits Timeless Ungu di Kuala Lumpur

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

“Ini pertama kali Ungu bawakan 30 buah lagu dalam 1 malam, maka nya kita lanjut sampai jam 3 pagi ya!” kata-kata Pasha mengundang gemuruh gelak-ketawa peminat setia Ungu yang hadir pada malam 25 Februari yang lalu. Majoriti-nya sporting mengenakan pakaian berona ungu, menciptakan nuansa yang sejuk mata memandang. Ruangan Mega Star Arena KL padat dipenuhi crowd menyaksikan bukti jualan tiket laris manis. Kesemua 5,000 fanatika menciptakan fenomena lautan bergelombang ‘Ungu’ yang luar biasa.

Dengan tatarias panggung yang gah gemerlapan, sorotan cahaya lampu gemilang, Pasha membuka tirai konsert dengan muncul di tengah pentas bersama barisan musisi mantap Ungu iaitu Makki (bass), Oncy (gitar), Rowman (dram) dan Enda (gitar). Penonton riuh menyambut mereka yang dibaluti busana suit blazer lengkap bertali leher, sapu tangan merah di kocek, sukses membuat penonton terpukau dengan lagu intro “Hampa Hatiku.” Disambung tanpa henti dengan lagu “Percaya Padaku” yang bernada upbeat mengundang sing-along berjemaah.

Usai 2 lagu, Pasha menyapa penonton dengan pertanyaan “Hensem tak kami malam ini?” merujuk kepada penampilan mereka tampan segak lagak gentlemen. “Bukan selalu kami pakai begini, maka wajar kalau tiket konsert mahal kerana kami pakai baju mahal.” Pasha mengusik hadirin sebelum lanjut lagi dengan lantunan “Berikan Aku Cinta” masih kekal dalam intonasi muzik yang ceria. Band berasal dari Jakarta ditubuhkan pada tahun 1996, sangat terkenal dengan rangkaian lagu-lagu hits pop-rock sarat pesan mendalam selama hampir 3 dekad bergelumang dalam industri seni.

Ungu membuat penonton bersorak kuat saat alunan muzik membawa ke lagu “Sejauh Mungkin”. Di setiap perantaraan lagu, Pasha pastinya menyelitkan pesan-pesan positif bagi menceritakan intipati lagu sesuai lirik yang dibawakan. Antara lagu lain yang turut berkumandang malam itu ialah “Cinta Gila”, “Saat Bahagia”, “Aku Bukan Pilihan Hatimu”, “Aku Tau”, “Seperti Yang Dulu” dan “Dirimu Satu”. Masuk lagu yang ke-11, seluruh sisi panggung yang didominasi limpahan cahaya ungu terjamah oleh Pasha. Kerap turun ke ruangan bawah pentas untuk lebih akrab bersama peminat, Pasha kemudian mengajak penonton bernostalgia lewat lagu-lagu favorite Ungu dendangan band dari Malaysia iaitu “Mencari Alasan” (Exists) dan “Disana Menanti Disini Menunggu” (Ukays).

Saya sangat suka pada dinamika persembahan Ungu yang diterajui oleh Pasha kerana bijaksananya  beliau dalam berinteraksi bersama peminat. Tak lama lampu dimalapkan, nada perlahan lagu “Bila Tiba” dan “Andai Ku Tahu” bergema, bermain dengan emosi penonton. Mengundang 1001 segala macam rasa penuh keinsafan, hadirin seolah-olah turut merasa terbawa-bawa oleh suasana – berjaya melarutkan penonton ke dalam mayapada Ungu yang sebenarnya. Seterusnya lanjut lagi dengan medley lagu-lagu dari album terdahulu Ungu.

Sudah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka, Ungu sangat suka membuat persembahan di Kuala Lumpur berikutan sambutan hangat yang diberikan. Meski sudah banyak kali beraksi di sini, setiap konsert tidak pernah gagal meninggalkan impak dan momen manis penuh bermakna buat mereka dan audiens. “Kami tidak pernah jemu datang kerana sokongan padu peminat yang begitu setia. Kami sangat terharu, terima kasih!” ucap Pasha penuh merendah diri. Lantas dihadiahkan 30 karya paling unggul yang pernah diciptakan Ungu istimewa untuk semua.

Lagu ballad yang cukup indah “Kekasih Gelapku” diperdengarkan, melodi berhantu mengundang sorakan gamat. Merdu sungguh suara Pasha begitu memukau. Mega Star Arena KL diselubungi satu nuansa nyaman dan menghiburkan. Apatah lagi saat lagu yang ditunggu-tunggu “Tercipta Untukmu” membuatkan penonton hanyut dalam keasyikan irama sentimental syahdu. Malam tampak berseri-seri dengan limpahan rona ungu dari setiap yang hadir menghayun tangan ke udara dengan kerlipan cahaya dari telefon bimbit masing-masing. Sudah hafal benar semua senikata lagu, tidak ada seorang pun yang tidak sing-along.

Meski Pasha dan kawan-kawannya tetap konsisten dalam suit blazer yang tersarung, namun Pasha telah melempar tali leher yang dipakainya ke arah peminat. “Jangan berebut ya, mahal tu, nanti saya beli yang lain lagi ya.” guraunya. Tak terasa waktu berjalan hampir 3 jam, penonton terkejut apabila Pasha mengumumkan lagu yang terakhir “Demi Waktu”. “Iya benar ini lagu yang terakhir, sudah 30 lagu ni.” kata-kata itu menerbitkan jerit-pekik. “Tapi nanti jangan lupa jerit lagi lagi lagi lagi ya.” Pasha spontan bercanda disahut gemuruh gelak ketawa dari 5,000 fans berat yang hadir. “Kami sudah siapkan encore nya. Jangan lupa bantu kami jerit ‘We Want More’ ya?” Pecah lagi gelak ketawa gembira dari semua.

Lagu “Seperti Mati Lampu” dipilih sebagai penutup keghairahan malam. Seluruh Mega Star Arena KL diajak berdansa dalam kemeriahan yang tak terungkapkan. Lagu upbeat tempo yang sangat popular itu sememangnya pilihan bijak sebagai outro konsert. Pengalaman 28 tahun berkarya bukanlah satu perjalanan biasa. Berbekalkan 14 album studio termasuk 6 album ketuhanan, ribuan persembahan dan puluhan konsert skala besar telah dicatatkan dalam salasilah karier mereka, menjadikan Ungu nama  besar paling prolifik dalam sejarah band di Indonesia. Tak hairan lah Ungu sukses menggegar seantero Nusantara dan memukau dari perspektif antarabangsa.

Tahniah Ungu, dan AKE Group selaku penganjur konsert untuk sebuah pesta mayapada Ungu yang takkan terlupakan sampai bila-bila. Konsert turut diserikan dengan kehadiran KDYMM Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah yang sudi mencemar duli dan menambahkan lebih kemeriahan berganda pada malam itu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page