September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) Kembali, Perkenal Galeri Sambal Warisan Sempena Festival Permainan Malaysia (FPM) 2024

2 min read
Spread the love

Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) bakal mengadakan Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) dengan mempamerkan sambal yang telah diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) sebagai makanan warisan.

Galeri Sambal yang dinamakan sebagai Warong Pak Aji itu akan memperkenalkan sembilan jenis sambal termasuk Sambal Tahun, Sambal Rong, Sambal Biji Getah dan Sambal Tempoyak Daun Kayu mengikut tahun dan negeri masing-masing.

Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan dan sambal merupakan hidangan wajib yang ada setiap kali hidangan di atas meja.

“TOSFE merupakan salah satu platform mempromosi sambal sebagai salah satu produk pelancongan makanan. Pada pesta yang lepas, kami berjaya mengumpul usahawan-usahawan sambal bagi mempamerkan lebih 100 jenis sambal selain jualan produk berasas serta berkaitan sambal.

“Namun, kali ini, kami membawa kelainan dengan memberi ruang kepada pengunjung untuk melawat Galeri Sambal, Warong Pak Aji yang akan menampilkan replika sambal yang diperbuat daripada silikon,” ujarnya pada Majlis Pra-Pelancaran TOSFE 03 di Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu.

Menurut Azmi, tahun ini, Malaysia telah meletakkan Nasi Lemak, Teh Tarik dan Roti Canai sebagai pencalonan bagi pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.

Sehubungan itu katanya, TOSFE akan mempamerkan ketiga-tiga makanan ini dalam satu sudut Sarapan Malaysia di dalam galeri tersebut sebagai tanda menyokong usaha MOTAC bagi memastikan hidangan tradisional rakyat ini diiktiraf sebagai Budaya Sarapan Pagi Malaysia.

Tambah Azmi, antara tarikan utama galeri tersebut iaitu di gerai teh tarik di mana pengunjung boleh bergambar dengan aksi seperti membuat teh tarik yang diperbuat daripada silikon.

Untuk edisi kali ini, TOSFE turut memberi ruang kepada artis yang mempunyai produk sambal seperti Datuk Khatijah Ibrahim dan Ezlynn bagi menjual produk sambal mereka di reruai artis.

Sementara itu, golongan asnaf dan OKU turut diberi peluang menjual produk sambal sendiri atau menjadi agen produk sambal keluaran artis seperti Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Nadia Mustafa tanpa sebarang bayaran dan diberikan komisen hasil jualan tersebut. Ia sekaligus memberi peluang untuk golongan ini menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka.

Antara tarikan utama aktiviti ialah pertandingan teh tarik, nasi lemak terbaik, pertandingan makan sambal serta Inovasi Sambal.

TOSFE dianjurkan oleh Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dibuka 14 September hingga 16 September 2024 di Dataran Merdeka sempena Festival Permainan Malaysia 2024.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page