Persembahan ‘Spektakular’ Mahalini
‘Spektakular’, itulah ungkapan yang paling sesuai di’hadiah’kan buat Mahalini Raharja yang telah mengadakan konsert “Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur” pada 3 Febuari lalu di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Meskipun pernah mengadakan persembahan di Malaysia, ternyata pemilik nama pentas Mahalini, punya aura tersendiri. Buktinya tiket konsert yang dibawakan khas oleh jenama kosmetik popular Alha Alfa, dan dianjurkan oleh penganjur acara, Kharisma Music ‘sold out’.
“Memandangkan kita serumpun, maka tidak salah rasanya saya menampilkan gabungan pemuzik dari Malaysia dan Indonesia”, ujar Mahalini
Konsert yang bertemakan ‘Lovechestra’ (love + orchestra) diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.
Konsert “Lovchestra Mahalini Live In Kuala Lumpur”, bukan hanya sarat dengan untaian lagu-lagu yang bersifat ‘galau’, malah ianya turut diperkuatkan dengan pelbagai elemen yang cukup untuk meragut emosi khalayak.
Mahalini juga kelihatan sebak ketika mendendangkan lagu Sisa Rasa sambil skrin di Megastar Arena menyiarkan foto dan momen indah Mahalini bersama mendiang ibunya.
Tanpa lagu Sial, pastinya tiada seri persembahan penyanyi yang digilap bakatnya menerusi Indonesian Idol pada malam tersebut. Beliau juga turut berkongsi cerita apakah maksud tersirat disebalik lagu yang ‘memberi warna’ dalam karier seninya.
“Saya tidak sekali pernah menyangka bahawa Sial itu akan menjadi naik. Padahal lagu itu secara jujur lagu paling aneh pernah saya tulis. “Sial bermakna ‘bad luck’. Saya pernah dengar bahasa Malaysia dan Indonesia agak sedikit berbeza. Sial yang saya maksudkan adalah nasib malang,” katanya.
Sepanjang 2 jam konsert berlangsung, para penonton dipersembahkan dengan hampir 16 buah lagu kesemuanya seperti Sial, Sisa Rasa, Melawan Restu, Bohongi Hati, Kisah Sempurna dan banyak lagi.
Cukup bertenaga dan vokalnya amat memukau, Hampir setiap lagu dinyanyikan ternyata dihafal penonton.
“Kalau bukan berkat kamu semua, tidak mungkin saya berada di sini. Terima kasih sudah mendengar lagu-lagu saya sejak awal dulu,” ujarnya.
Mahalini turut membuat kejutan ketika mendendangkan lagu Kisah Sempurna, dimana dia baraksi di atas buaian khas yang dihiasi dengan elemen flora.
Malam konsert juga turut diserikan dengan bintang tamu, Rizky Febian, yang turut mendapat sorakkan dan tepukkan meriah apabila ‘Iky’ muncul di pentas.
Aku Yang Salah, Janji Kita, Satu Tuju dan You’re Mine menyaksikan kolaborasi romantis Rizky dan juga Mahalini. Rizky juga turut mendendangkan lagu Selaras Kata dari album terbaharunya, Berona.
Konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur turut menjadi malam bertuah bagi salah seorang pembeli tiket yang telah berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang merupakan sebuah kereta, serta pemenang lainnya dengan hadiah-hadiah yang menarik