Perpetual Bakal Menjadi Band Muzik Ekstrem Malaysia Pertama Beraksi di Turki

Band grindcore veteran dari Sabah, Perpetual, bakal mencipta sejarah sebagai kumpulan muzik ekstrem Malaysia pertama yang akan beraksi di negara Turki. Pengumuman ini dibuat oleh pemain bass mereka, Zam, di laman Facebook beliau.
Mengikut kenyataan Zam, Perpetual bakal tampil dalam acara istimewa yang dinamakan ‘Grind Over Istanbul’ pada 28 Jun 2025. Persembahan ini akan berlangsung di Dorock Heavy Metal Club, Istanbul, dengan tiket berharga 250₺ dan pintu akan dibuka pada jam 8 malam.
Konsert di Turki ini adalah sebahagian daripada jelajah Eropah mereka selepas kejayaan tour Jepun pada tahun 2024. Selepas Turkiye, Perpetual akan meneruskan siri jelajah mereka di beberapa lokasi utama di Eropah, termasuk United Kingdom pada 1 Julai, Perancis pada 3 Julai, Belgium pada 5 Julai, Belanda pada 6 Julai, Jerman pada 7 Julai, serta Republik Czech pada 8 Julai untuk Thirst For Grind Fest dan 9 Julai di Obscene Extreme Fest. Penyertaan dalam Obscene Extreme Fest adalah pencapaian yang luar biasa kerana festival ini merupakan antara festival muzik ekstrem paling berprestij di dunia dan akan berlangsung di Trutnov.

Dalam kenyataan lanjut, Zam turut berkongsi bahawa Perpetual telah berjaya menyelesaikan sesi rakaman EP terbaru mereka, yang bakal dikeluarkan oleh sebuah label berprestij dari Amerika Syarikat. EP ini dijangka akan dilancarkan sebagai sokongan kepada jelajah Road to OEF mereka dari penghujung Jun hingga pertengahan Julai 2025.
“Semoga semuanya berjalan lancar dan berjaya. Maklumat lanjut akan menyusul!” kata Zam bagi pihak Perpetual, yang kini dianggotai oleh Zam, Endeng, dan Joe.
Perpetual yang ditubuhkan pada tahun 1995 telah menjadi antara nama penting dalam arena grindcore Malaysia dan Asia Tenggara. Pencapaian ini sekali lagi membuktikan muzik ekstrem tempatan semakin mendapat tempat di persada antarabangsa.
Nantikan perkembangan lanjut mengenai Perpetual dan jelajah bersejarah mereka!
