December 27, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Perjalanan’ Simbolik Tribute Soma Buat Datuk S. Atan

Spread the love

Foto Kredit:  PaPaDin / Subky Kelkatu TV

Penyanyi kelahiran Selangor, Rosmah S. Sengari, atau lebih dikenali sebagai Soma, 49, melancarkan album terbaharunya berjudul Perjalanan. yang kini menjadi simbol penghormatan kepada Allahyarham Datuk S. Atan. Soma juga mencipta sejarah peribadi apabila menjadi artis terakhir di bawah bimbingan Allahyarham Datuk S. Atan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Saya tidak menyangka saya adalah artis terakhir di bawah arwah Datuk S. Atan. Ketika album ini hendak dilancarkan, perasaan saya bercampur-baur – sedih kerana beliau sudah tiada, tetapi dalam masa yang sama rasa bertuah kerana dapat menyanyikan karya-karya terakhir beliau,” kata Soma pada sidang media di Hotel Seri Pacific, baru-baru ini.

Soma turut berkongsi bahawa pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham adalah pada Konsert Legend di Sabah pada awal November lalu. Pada pertemuan itu, Soma sempat berbincang mengenai hasratnya untuk menyiapkan sebuah lagu raya ciptaan Allahyarham. Namun, dua minggu kemudian, berita pemergian Datuk S. Atan mengejutkan seluruh industri seni tanah air.

Untuk info, Soma telah memulakan karier nyanyian sejak usia 13 tahun, pernah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM pada tahun 2009. Setahun kemudian, beliau sekali lagi meraih kejayaan apabila menjadi juara dalam Bintang Klasik RTM 2010 mewakili Selangor. Selain itu, beliau juga pernah melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan seperti Sinaran Passport Kegemilangan dan Akademi Fantasia.

Selepas 28 tahun menyepi, Soma kembali ke persada seni dengan penuh harapan. Ditanya media tentang tempoh panjang itu, Soma menjelaskan bahawa perjalanan kariernya bukanlah mudah.

“Saya mula menceburkan diri dalam industri hiburan secara serius pada usia 21 tahun, tetapi ketika itu saya masih mencari arah. Jika tersalah langkah atau tidak bertemu dengan orang yang tepat, sukar untuk bertahan dalam industri. Walaupun pernah merakam tiga buah lagu sebelum ini, saya anggap masa itu belum tiba rezeki saya sepenuhnya,” ujarnya.

Inspirasi untuk album ini bermula selepas pertemuan Soma dengan Belle Fatah di sebuah konsert amal. Belle yang tertarik dengan bakat Soma kemudian menawarkan kerjasama untuk merakamkan lagu-lagu baru. Album Perjalanan kini menjadi lambang semangat dan dedikasi Soma dalam memperjuangkan seni muzik tradisional dan kontemporari.

Album Perjalanan memuatkan lima buah lagu, tiga daripadanya adalah ciptaan Allahyarham Datuk S. Atan, termasuk lagu utama Perjalanan (lirik oleh Soma), Memori Bulan Disember (lirik oleh Siso Kopratasa), dan Bebaskan Aku (lirik oleh Siso Kopratasa).

Dua lagu lain ialah Curahan dan Dugaan, yang merupakan gubahan semula karya asal Din J dengan sentuhan baru oleh Belle Fatah. Selain itu, dua lagu yang belum sempat dirakamkan oleh Allahyarham, iaitu Kerlipan Langit Lebaran (lagu raya) dan Bisikkanlah Kekasih, akan diteruskan oleh Belle Fatah sebagai sebahagian daripada usaha menyambung legasi Allahyarham.

Album Perjalanan bukan hanya sebuah karya seni, tetapi juga penghormatan kepada legasi Allahyarham Datuk S. Atan. Soma berharap album ini diterima oleh semua lapisan masyarakat dan dapat menghidupkan semula karya-karya hebat komposer tersohor itu.

Soma berharap album ini mendapat sambutan hangat di kalangan peminat dan mampu meninggalkan kesan mendalam di hati para pendengar. Dengan gabungan melodi indah dan lirik yang penuh makna, ‘Perjalanan’ diyakini mampu menjadi antara album terbaik dalam kariernya.

Album ini kini boleh dinikmati di semua platform digital malah ianya boleh diklasifikasikan sebagai album ‘tribute’ kepada Allahyarham Datuk S. Atan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page