September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Perjalanan Seni 27 Tahun Liza Hanim Di Singkap Dengan Penuh Warna Warni

3 min read
Spread the love

Foto Kredit:  LH Media

Haliza Hanim Abdul Halim atau lebih dikenali dengan Liza Hanim kini mampu menarik nafas lega kerana setelah sekian lama mengimpikan untuk mengadakan konsert solonya telah terlaksana pada 4 Februari lalu. Lebih mengujakan apabila konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu dihadiri lebih 1300 penonton yang rata-ratanya adalah fanatika Liza Hanim.

Konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang bermula sekitar jam 8.35 malam itu dimulai dengan intro yang cukup dramatik, seolah-olah ingin mengembara  ke alam fantasi Liza Hanim.

Tanpa membiarkan penonton terus bertanya-tanya, Liza membuai dengan lagu Imaginasimu (Hey Liza).  Beliau yang hadir berbusana merah hasil air tangan Rizman Ruzaini nyata tampak anggun dan punya aura kredibiliti serta keyakinan yang cukup tinggi.

Pastinya Dunia Cinta, Getaran Cinta di Jiwa, Cintailah Aku Sepenuh Jiwa menjadi sandaran Liza untuk para peminat yang dahagakan lagu-lagu ‘jiwang’ nyanyiannya.

“Kalau nak jumpa orang yang kita sayang, memang akan sakit dulu.  Saya yakin anda pasti perasan saya kurang sihat ketika ini. Memang betul sudah dua minggu saya tak sihat. Jujurnya saya risau jika kesihatan saya masih tidak pulih menjelang konsert sebab lagu-lagu saya tahu sajalah (bernada tinggi)”, ujar Liza

“Tapi, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Mungkin semangat nak jumpa anda semua pada konsert ini saya cuba harungi dan harapnya setiap lagu dapat dipersembahkan dengan baik,” ujarnya lagi.

Liza Hanim yang dilihat sebak dan terharu melihat sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi turut melahirkan ucapan terima kasih kerana menjadikan Liza Hanim 27 Years Journey In Concert menjadi rialiti.

Liza juga turut melahirkan rasa terima kasihnya kepada Tan Su Loke kerana sudi menerimanya sebagai artis rakaman syarikatnya iaitu Suria Records (SRC) dan memberi kepercayaan penuh untuk meriliskan 3 buah album meskipun di ketika itu Liza baru berusia 20an.

27 Years Journey In Concert bukan sekadar sebuah konsert tetapi ianya medan mengimbau momen yang penuh warna warni perjalanan karier seni Liza Hanim yang terlukis di lanskap Zepp Kuala Lumpur. 

Konsert yang berdurasi 2 jam 30 minit itu sarat dengan permainan emosi, senda gurau, nostalgia selain paparan dan penataan cahaya yang nyata memberi ‘nyawa’, selain sistem audio yang cukup mudah untuk dihadam oleh khalayak.  Kredit juga wajar diberikan buat Liza Hanim kerana berjaya mengawal vokalnya meskipun berdepan masalah kesihatan.

Lebih 20 buah lagu telah beliau persembahkan antaranya adalah Gelisah Mimpi, Siapa Sangka Siapa Menduga,Semilir, Andainya Aku Bersuara dan banyak lagi. Liza turut menampilkan satu segmen khas Tribute Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan membawakan lagu Jeritan Batinku dan Dimanakan Ku Cari Ganti dan Istana Cinta.

Liza turut membuai emosi penonton ketika menyampaikan lagu ‘Tiada’, yang beliau gubah sendiri pada tahun 2019.   

“Kalau boleh saya tidak ingin menangis ketika menyampaikan lagu ini, namun apakan daya ianya di luar kemampuan saya”, ujarnya dalam keadaan sebak.

Liza Hanim 27 Years Journey In Concert adalah anjuran LH Media Sdn Bhd dan Laugh Out Loud Entertainment itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Untuk rekod LizaHanim pernah merakamkan tujuh album studio iaitu Epilog pada 1997, Di Mana Kan Ku Cari Ganti (1998), Puteri Jelmaan (1999), Istimewa (2000), Isyarat Jiwa (2001), Ku Teruskan (2003) dan Imagin (2007).

Lebih menarik, konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa seperti penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza serta beberapa penyanyi hebat tempatan. Antaranya Ziana Zain, Anuar Zain, Marsha, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Noryn Aziz, Aisha Retno, Dina Nadzir, Haziq Husni dan Dafi Ismail.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page