Penyatuan Semangat Muzik di Kuching Melalui Palau Rockers
Dua penganjur acara yang berpangkalan di Kuching, Sarawak, Restwell Extreme Chapter dan Midlife Crisis Apai Urang telah berjaya bekerjasama menganjurkan gig Celebrity Z Company & Bistro, Kuching minggu lepas (pada 2 November 2024). Acara yang diberi tajuk “Palau Rockers” itu telah menghimpunkan ramai peminat muzik tempatan untuk menyaksikan persembahan lima kugiran dari Sarawak.
Pada hari persembahan yang bermula pukul 7 malam itu, Celebrity Z Company & Bistro kelihatan dipenuhi dengan penonton yang ceria, menikmati muzik yang dimainkan secara “live” oleh kugiran-kugiran yang tampil pada malam itu. Salah satu perkara menarik tentang gig ini adalah tiada bayaran tiket masuk; pengunjung hanya perlu membeli bir untuk menikmati muzik yang dimainkan oleh kugiran-kugiran yang dijemput untuk bermain pada malam itu.
Menurut seorang wakil penganjur, acara ini adalah satu kejayaan besar bagi pihak penganjur dan mereka berpuas hati dengan sambutan yang diterima. “Adalah sangat baik untuk mengadakan gig seperti ini dari semasa ke semasa di Kuching, kerana ia dapat memberikan semangat kepada semua peminat muzik underground untuk berkumpul bersama. Keriangan dan kegembiraan jelas terpancar di kalangan hadirin,” katanya.
Kugiran-kugiran yang menghiburkan para penonton pada malam itu termasuk Night With Wolves, Popang, Needless To Be Forgiven, Militant Attack, We the Leader, dan RadakNyawa. Setiap band membawa gaya muzik yang unik, memberikan persembahan yang bertenaga dan memukau.
Night With Wolves, dengan muzik alternatif rock mereka, berjaya menarik perhatian walaupun bertindak sebagai pembuka acara. Kehadiran kugiran pop punk alternatif/modern rock, Popang, turut menyemarakkan suasana acara pada malam tersebut. Sementara itu, Needless To Be Forgiven memukau penonton dengan persembahan muzik metalcore yang mengagumkan.
Militant Attack, sebuah kugiran thrash metal veteran dari Kuching, mengejutkan hadirin dengan gimik memanggil bekas vokalis mereka untuk menyanyikan sebuah lagu bersama mereka. We the Leader, yang terdiri daripada enam anggota, juga membawa aura hebat yang mengingatkan para hadirin kepada Killswitch Engage, manakala RadakNyawa, sebagai band headliner, memukau penonton dengan jenama punk rock mereka yang tersendiri.
Secara keseluruhan, gig ini benar-benar mencerminkan semangat underground dengan rasa perpaduan, kerana ia menyatukan pelbagai genre muzik dan membina ikatan antara peminat muzik di Kuching. Satu perkara lagi, jika sesiapa ingin mengetahui maksud “palau”, ia sebenarnya merupakan istilah bahasa seharian bagi masyarakat Sarawak yang merujuk kepada keadaan “mabuk”. Di Sarawak, apabila seseorang menyebut “palau”, ia bermakna mereka sedang dalam keadaan mabuk.