Penyanyi Utama Kumpulan 3 Doors Down meninggal dunia pada umur 47 tahun
Penyanyi utama dan penulis lagu kumpulan 3 Doors Down, Brad Arnold, telah meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser, menurut pengumuman kumpulan rock itu di X. Beliau berusia 47 tahun.

“Dia akan sangat dirindui dan akan sentiasa dikenang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.
3 Doors Down terkenal dengan lagu-lagu rock popular era 2000-an seperti Kryptonite, Here Without You, When I’m Gone dan Loser.
Pada Mei 2025, Arnold mendedahkan bahawa beliau disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap 4 (clear cell renal carcinoma) yang telah merebak ke paru-paru.
“Saya langsung tak takut. Sejujurnya, saya memang tak rasa takut pun,” kata beliau, sambil meluahkan rasa sedih kerana kumpulan itu terpaksa membatalkan jelajah akan datang.
“Saya harap sangat anda semua dapat doakan saya bila-bila ada kesempatan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, 3 Doors Down berkata Brad sebagai ahli pengasas, penyanyi utama dan pemain dram asal telah “membantu membentuk semula muzik rock arus perdana, dengan gabungan gaya pasca-grunge yang mudah diterima serta penulisan lagu yang terus menyentuh perasaan pendengar biasa.”
Kumpulan ini ditubuhkan di Mississippi pada pertengahan tahun 1990-an. Seorang lagi ahli pengasas kumpulan asal, Matt Roberts, meninggal dunia pada 2016 ketika berusia 38 tahun.
Brad menulis lagu Kryptonite — lagu yang melonjakkan nama 3 Doors Down pada tahun 2000 — ketika dia masih berusia 15 tahun, semasa berada di kelas matematik.

Orang terdekat dengan Brad akan “mengingatinya bukan sahaja kerana bakatnya, tetapi juga sikapnya yang mesra, rendah diri, kuat pegangan agama, serta kasih sayangnya yang mendalam terhadap keluarga dan rakan-rakan.”
Beliau meninggalkan isterinya, Jennifer.
Sepanjang era 2000-an dan 2010-an, lagu-lagu 3 Doors Down sering berkumandang di radio rock dan pop. Kumpulan ini turut memenangi tiga Anugerah Muzik Billboard.

Album sulung mereka, The Better Life, pernah menjadi album ke-11 paling laris di negara asal mereka pada tahun ia dikeluarkan.
Arnold juga pernah bercakap secara terbuka tentang perjuangannya melawan ketagihan alkohol dan bagaimana beliau berjaya pulih, selepas hidup bebas alkohol sejak 2016.
“Saya dulu ingat minum itu cara untuk tenangkan diri sebelum naik pentas atau untuk hilangkan rasa sunyi,” katanya kepada Charleston.com pada tahun 2023.
Pada tahun 2004, 3 Doors Down menubuhkan sebuah badan kebajikan, Better Life Foundation, untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan makanan, tempat tinggal dan rawatan perubatan. Kumpulan ini juga menganjurkan konsert tahunan untuk mengumpul dana bagi tujuan tersebut.

“Semua sumbangan itu datang daripada peminat dan orang ramai,” kata Arnold kepada majalah Antihero pada 2021.
“Tapi bila tengok kesan bantuan itu selama bertahun-tahun, memang ia buat hidup saya jadi lebih bermakna.”

