‘PENTAS PELURU COKELAT’ — BARBARIK Sedia Gegarkan Zepp KL Jun Ini

BARBARIK jenama yang tidak perlu di pertikaikan kewibawaan mereka, adrenalin yang mengalir deras sentiasa menjadi wadah fanatika yang sentiasa memburu persembahan mereka yang sarat dengan energi. Kini mereka kembali ke pentas dengan konsert terbaharu, BARBARIK PENTAS PELURU COKELAT, yang bakal berlangsung pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini diadakan bersempena kelahiran album sulung mereka, PELURU COKELAT, yang dilancarkan pada 9 November 2024. Buat pertama kalinya sejak penubuhan mereka, BARBARIK yang dibarisi daripada Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass), dan Ainol (dram) akan mempersembahkan keseluruhan lagu daripada album mereka sendiri di atas pentas.
“Kami telah melalui fasa mempersembahkan lagu-lagu era Muss bersama Wings sebelum ini, tetapi kali ini ia adalah sepenuhnya tentang identiti BARBARIK. Kami bawakan elemen kejutan dari awal hingga akhir dan pastikan penonton tidak akan berganjak walau sesaat,” ujar JoBranko yang juga komposer utama album ini.

Sejak penubuhannya secara rasmi pada konsert sulung BARBARIK PENTAS KERAS 1.0 pada Disember 2022, BARBARIK sudah mencetuskan fenomena melalui siri persembahan terdahulu termasuk DOUBLE TROUBLE 2: SEARCH X BARBARIK (2023) dan PENTAS KERAS 3.0 (2024). Namun konsert kali ini menjanjikan kelainan dengan susunan lagu baharu yang mendalam dan reflektif.
Antara lagu-lagu daripada album PELURU COKELAT yang bakal dipersembahkan termasuk Peluru Cokelat, Golok Kayu (menampilkan Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, dan Marcapada, serta sebuah instrumental epik berjudul Gelap Nan Terang.
Album yang dirakam sepanjang enam bulan sejak Mac 2024 itu turut mendapat sentuhan antarabangsa melalui proses mastering oleh Don Bartley di Benchmark Mastering, Brisbane. Selain Karl Cromok, album ini juga menampilkan pemuzik undangan Adi Yamin di posisi keyboard.

Lebih menarik, album PELURU COKELAT dilancarkan dalam empat format berbeza: cakera padat, piring hitam, kad USB dan versi digital eksklusif melalui e-mel. Sesuatu yang luar biasa dan ‘kerja gila’ menurut JoBranko, yang percaya peminat mereka masih menghargai nilai dan nostalgia album fizikal.
Konsert BARBARIK PENTAS PELURU COKELAT dibawakan oleh KARRI TALK PRODUCTION dengan PENTAS BARBARIK SDN. BHD. sebagai penganjur bersama. Tiket boleh didapati di laman sesawang ilassotickets.com dengan pilihan berikut:
- CAT 1 FREE STANDING – RM150
- CAT 2 VVIP SEATING – RM380
- CAT 3 VIP SEATING – RM280
- VIP BOX + MEET & GREET – RM8,000

Bagi pengumpul muzik dan peminat rock tempatan, album PELURU COKELAT boleh diperoleh menerusi akaun rasmi Shopee, Pentas Barbarik Store.