Pentas Manifestasi: Medan Juang Pencinta Rock

Kredit Foto: PaPaDin
Bagaikan letusan adrenalin yang menggegarkan jiwa, Pentas Manifestasi pada 22 Februari lalu di Warisan Hall, Sijangkang menjadi saksi kepada peminat yang membanjiri ruang dewan demi satu tujuan—menghayati ledakan muzik rock yang tidak pernah mati. Sebuah medan pertempuran seni yang menghimpunkan FOR (Family Of Rock), Senna dan Bloodshed, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu ritual keagungan rock yang mengalir dalam nadi setiap peminat yang hadir.
Seawal jam 6 petang, Warisan Hall sudah dipenuhi fanatika yang rata-ratanya satu ‘nawaitu’. Jaket kulit, baju band, dan gelang besi menjadi uniform wajib. Setiap wajah memancarkan keterujaan, setiap langkah penuh dengan antisipasi. Dewan yang sunyi mula berdenyut dengan energi misteri, seolah-olah menyimpan letupan yang hanya menunggu masa untuk meletus. Sistem bunyi mula diuji, dentuman bass menggema, dan jantung setiap penonton berdegup kencang. Ini bukan sekadar konsert tetapi ia adalah medan juang.
FOR: Pemanas Pentas dengan Tenaga Tanpa Sempadan
FOR (Family Of Rock) melonjak ke pentas dengan energi yang meledak-ledak. Sebagai pembuka malam, mereka tidak membuang masa. Gebang Melangit menjadi letupan pertama, menyambar udara seperti kilat di malam gelap. Setiap riff gitar, setiap hentakan dram, dan setiap lenggok vokal memecahkan kesunyian, menyedut penonton ke dalam pusaran rock yang tak berpenghujung.

FOR terus menghujani penonton dengan lagu-lagu seperti Layar, Woi Apa Lu Bikin, dan Resah. Namun, momen paling magis adalah ketika mereka membawakan Cintamu Mekar di Hati (MAY) dan Bayu (Lela). Penonton bersatu padu, menyanyikan setiap bait lirik dengan penuh nostalgia. FOR membuktikan diri mereka bukan sekadar pembuka pentas, tetapi pejuang sejati yang layak berdiri di medan rock ini.


Senna: Bara yang Menyala Semula
Senna, yang telah lama mendiamkan diri, muncul seperti api yang kembali menyala dengan bahang lebih panas. Membawa Bicara Langit Terbuka, Songsang, Ibu, dan Petanda, band ini menghidupkan semula semangat peminat yang pernah terpikat dengan karya mereka sejak era 90-an.

Saat Ibu dimainkan, seluruh suasana berubah. Lampu-lampu biru malap, kabus mula menyelimuti pentas, dan puisi Teduhan Kasih dilantunkan sebagai pembuka. Peminat yang pada mulanya bersorak kini diam, terhanyut dalam momen syahdu yang menggugah perasaan. Lagu ini membuktikan bahawa di sebalik imej keras, rockers juga punya jiwa yang sarat emosi.


Namun, sebaik sahaja intro Manusia Reptilia (Search) bergema, Senna kembali menggila. Cahaya merah menyala, riff gitar berkumandang tajam, dan pentas berubah menjadi ribut energi yang menggegarkan Warisan Hall.
Bloodshed: Ledakan Epik Seperti Medan Perang
Malam itu mencapai kemuncaknya saat Bloodshed mengambil alih pentas. Dari segi teknikal, ini adalah persembahan yang paling sempurna, di mana sistem bunyi mencapai keseimbangan optimum—setiap petikan gitar, hentakan dram, dan lenggok vokal Muzam mengalir dengan kejelasan yang luar biasa.

Pentas bertukar medan perang sebaik intro Debu Khayalan dimainkan. Sorotan lampu LED menyala dengan efek dramatik, berkilauan merah seperti bara api yang membakar semangat penonton. Peristiwa, Satria Mega, Panah Arjuna, Nostalgia Rindu—setiap lagu menghamburkan adrenalin tanpa henti.


Namun, momen paling bermakna tiba ketika Srikandi Cintaku dimainkan. Seluruh dewan berubah menjadi lautan cahaya, dengan peminat mengangkat telefon bimbit mereka, mencipta suasana magis yang sukar dilupakan. Muzam membawa aura nostalgia, menghidupkan semula zaman kegemilangan Bloodshed dengan vokalnya yang bertenaga.
Akhirnya, pentas Manifestasi menutup tirai dengan Marilah Berjuang yang turut disertai oleh ketiga-tiga vokalis, satu simbol perjuangan muzik rock yang kekal relevan. Warisan Hall telah menyaksikan bukan sekadar konsert, tetapi satu peristiwa bersejarah dalam dunia rock tempatan. Pencahayaan, bunyi, dan persembahan semuanya berpadu menjadikan malam itu sesuatu yang akan terus terpahat dalam ingatan setiap jiwa yang hadir.