November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Pengiktirafan Terbesar Sepanjang Karier Kami” – Masdo

Spread the love

Sejak ditubuhkan pada tahun 2015, ini adalah pengiktirafan terbesar sepanjang karier Kugiran Masdo.  Lebih membanggakan mereka menjadi band pertama di Malaysia berkolaborasi dengan syarikat motosikal jenama skuter popular dari United Kingdom, Royal Alloy.

Pemilihan Masdo bukan sahaja berdasarkan bakat dan muzik yang berkualiti, malah imej retro yang diperkenalkan membuatkan jenama ‘Masdo’ cukup kuat.

Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi menyifatkan kolaborasi dengan jenama jentera skuter tersohor itu adalah satu pengiktirafan buat mereka sejak terbabit dengan dunia seni bermula pada tahun 2015.

“Menerima lamaran Royal Alloy Malaysia untuk projek atau kolaborasi ini ibarat bulan jatuh ke riba dan membuat Masdo mahu terus ‘Bercanda Di Malam Yang Indah.

“Ia adalah satu penghormatan buat Masdo menjalin kerjasama dengan jenama yang sudah dikenali sejak berdekad lamanya. Kami berharap kolaborasi ini mencapai matlamat seperti yang diinginkan”, ujar Putuceri

“Mari kita menikmati hidup dalam aroma retro tetapi moden sama seperti Royal Alloy dan Masdo.  Kita pun memang tak sangka sebenarnya diberi peluang untuk bekerjasama. Sebab kita memang ada jiwa-jiwa klasik, kita pun suka jenis-jenis motor begini. Saya dulu pun pernah ada Cafe Racer so memang tak taulah, mungkin jodohlah. Jodoh tu pula kena dengan muzik kami bawa”, ujar Ali

Ali turut menjelaskan bahawa rekabentuk edisi ‘dinda’ telah pun mereka perolehi cuma perkara tersebut tidak boleh di pertontonkan kepada peminat dan hanya berserah kepada pihak Royal Alloy untuk mengumumkan.

Melihat kepada kemampuan Masdo yang berjaya melebarkan sayap mengharumkan karier seni mereka ke seluruh Nusantara, Pengerusi Mofaz Motosikal Sdn Bhd (MOMOS), Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, ia adalah satu contoh kerjasama mantap dan bergaya.

“Adalah sebuah kejayaan apabila Royal Alloy Malaysia dapat menjalinkan kolaborasi dengan band muzik yang sangat berbakat besar, popular dan cukup diminati bukan hanya di Malaysia tetapi sehingga Singapore Indonesia dan Brunei”, ujar beliau sewaktu ditemui media sempena majlis pelancaran Royal Alloy Youth Edition bersama kugiran Masdo di Glasshouse at Seputeh pada 24 Oktober lalu.

“Pemilihan Kugiran Masdo sebagai ‘iklan bergerak’ kami adalah selaras dengan jentera skuter yang bergaya klasik tetapi berteknologi moden sementara Masdo pula adalah pemuzik generasi moden tetapi membangkitkan keghairahan terhadap karya-karya bernuansa retro,” katanya.

Kolaborasi ini dapat menjadi tarikan di antara retro dan moden yang menambah gaya kehidupan masa kini dan tentu sekali bakal menjadi nostalgia yang tidak akan mati.  Royal Alloy dan Masdo melancarkan skuter edisi terhad yang diberi nama ‘Dinda’.

Lebih menarik, 50 pembeli pertama skuter edisi ‘Dinda’ bakal berpeluang muncul dalam muzik video terbaru kugiran Masdo.

Gabungan Royal Alloy dan Kugiran Masdo ini kemudian menjadi intepretasi kepada kuasa tarikan di antara retro dan moden yang menambah gaya kehidupan masa kini dan tentu sekali bakal menjadi nostalgia yang tidak akan mati.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page