May 6, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Penghasilan Muzik AI Tanpa Kawal-Selia Jejas Industri Muzik Tempatan – RIM Seru Tindakan Segera

Spread the love

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap penghasilan muzik janaan kecerdasan buatan (AI) yang tidak dikawal, yang dilihat sebagai satu ancaman besar kepada kelangsungan industri muzik tempatan.

Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, meskipun teknologi AI mampu mempertingkatkan kreativiti dan kecekapan dalam penghasilan lagu, penggunaannya yang tidak beretika dan tanpa pemantauan undang-undang menjejaskan pendapatan serta hak para pencipta, pemuzik, penyanyi, dan syarikat rakaman di Malaysia.

“Tanpa perundangan jelas, karya asal pencipta boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk melatih model AI, tanpa kebenaran atau pampasan. Baru-baru ini, lagu ‘Aku Cinta Padamu’ yang asalnya dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah dijana semula menggunakan suara tiruan mirip Dayang Nurfaizah – satu contoh nyata pelanggaran hak cipta dan etika,” jelas Rosmin.

Tambah beliau, satu kajian oleh Konfederasi Persatuan Pengarang dan Komposer Antarabangsa (CISAC) mengunjurkan kerugian global sebanyak €10 bilion menjelang 2028 akibat impak muzik AI terhadap pencipta dan penggiat industri.

Trend ini semakin membimbangkan apabila platform penstriman seperti Deezer kini menyerap lebih 20,000 karya AI setiap hari, mewakili 18% daripada keseluruhan kandungan mereka – satu situasi yang berpotensi untuk menghakis bayaran royalti kepada pencipta muzik sebenar.

Rosmin turut merujuk beberapa tindakan undang-undang antarabangsa sebagai isyarat bahawa pengawalseliaan amat diperlukan. Antaranya, saman oleh Universal Music Group, Concord dan ABKCO terhadap syarikat AI Anthropic pada 2023, serta tindakan RIAA terhadap Suno dan Udio pada 2024 atas pelanggaran hak cipta.

Beliau menekankan keperluan Malaysia menggubal rangka kerja undang-undang menyeluruh seperti yang telah dilaksanakan di Kesatuan Eropah melalui EU AI Act dan Akta ELVIS di Tennessee, AS, yang melindungi pemilik hak cipta serta individu daripada penyalahgunaan AI seperti klon suara dan deepfake.

“Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera. Undang-undang baharu harus melindungi hak pencipta tempatan dan menetapkan ketelusan dalam pembangunan model AI, termasuk pendedahan kandungan hak cipta yang digunakan semasa latihan model AI,” katanya.

RIM menyeru agar semua pihak berkepentingan – termasuk pembuat dasar, pembangun teknologi, dan penggiat seni – bekerjasama bagi memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab dan tidak memusnahkan ekosistem muzik sedia ada.

Untuk maklumat lanjut, layari www.rim.org.my atau ikuti RIM di Facebook dan Instagram di @recordingindustrymalaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page