September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pengenalan Kepada Demented Heart, Sebuah Kumpulan Death Metal Teknikal Dari Indonesia

3 min read
Spread the love

Undying Music, sebuah label rakaman muzik Indonesia, ingin memperkenalkan dan mempromosikan kumpulan Demented Heart yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 2006, di Pare, Kediri, Indonesia.

Penubuhan kumpulan tersebut bermula dengan dua orang individu; Avan dan Ary yang ingin mewujudkan sebuah kumpulan yang bermainkan genre death metal teknikal dengan menjemput Billy dari Killharmonic, dan formasi awal Demented Heart adalah Avan (gitar dan vokal), Ary (bass), Billy (dram). Dengan hanya tiga orang, mereka mula beraksi di pelbagai acara-acara metal di Jawa Timur, Indonesia.

Pada pertengahan 2009, mereka telah berjaya merakamkan demo mereka yang mengandungi lapan lagu dengan Zain beraksi di posisi dram untuk merakamkan demo tersebut. Ini adalah kerana Billy sibuk menyiapkan albumnya dengan Killharmonic pada masa itu.

Dengan formasi mereka pada masa itu yang terdiri daripada Avan, Ary dan Zain mereka juga turut merakamkan semula demo mereka dan demo yang dirakamkan semula itu telah diterbitkan sebagai sebuah album yang berjudul ‘Seeds of the Venomous’, dikeluarkan oleh label rakaman Rottrevore dari ibu negara Indonesia, Jakarta pada tahun 2010.

Perjalankan Ary bersama Demented Heart bagaimanapun hanya setakat tahun 2012, kerana pada tahun itu, Ary memutuskan untuk meninggalkan kumpulan tersebut kerana hal kerja. Posisinya sebagai peamain bass kumpulan itu pula diganti oleh Bima yang berasal dari Sidoarjo. Selain daripada itu, dan oleh kerana Zain pula masih sibuk dengan kumpulannya, Detested, posisi pengetuk dram untuk Demented Heart pula telah diisi oleh Vega, akan tetapi Vega hanya dianggap sebagai ahli tambahan sahaja untuk Demented Heart untuk beberapa persembahan.

Zain bagaimanapun menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada Demented Heart dari tahun 2013 manakala Erig juga menyertai Demented Heart pada tahun yang sama. Barisan Demented Heart yang dianggotai oleh Avan, Zain dan Erig bagaimanapun kekal sehingga ke masa dunia mengalami pandemik Covid-19. Mereka juga telah berjaya merakamkan album mini pertama mereka berjudul ‘Different Infinite Equations’ yang mengandungi lima lagu. Mini album itu pula telah dikeluarkan oleh Sickness Production yang berpangkalan di Jakarta pada tahun 2014.

Tahun 2016 dan 2017 menyaksikan Demented Heart tidak melakukan sebarang aktiviti ekoran kesibukkan jadual masing-masing kepada semua anggota kumpulan tersebut. Dua tahun tanpa sebarang aktiviti kumpulan tersebut telah dianggap oleh mereka sebagai tempoh cuti daripada sebarang kegiatan bersama Demented Heart.

Mereka bagaimanapun kembali aktif bersama Demented Heart pada tahun 2018, di mana mereka telah menerima beberapa tawaran untuk membuat persembahan dan secara langsung telah menyebabkan mereka kembali aktif semula. Malang bagi mereka, pada tahun 2020, Indonesia mengalami pandemik Covid-19 yang mengakibatkan pembatalan persembahan mereka di beberapa kawasan di Indonesia.

Dalam keadaan dunia mengalami pandemik Covid-19, Demented Heart pula mengalami perubahan anggota sekali lagi pada masa tersebut di mana Avan kekal sebagai anggota asal kumpulan tersebut dan dibantu oleh Humam yang bermain dram untuk kumpulan tersebut, Fransisko (bass) dan Raka (gitar utama). Barisan Demented Heart versi ini pula telah merakamkan semula EP 2014 ‘Different Infinite Equations’ mereka yang turut mengandungi sebuah lagu bonus dalam rilisan itu pada tahun 2022.

Demented Heart akhirnya berjaya menerbitkan album kedua mereka pada tahun 2023 melalui label rakaman Brutal Mind. Diberi judul ‘Frantic Epidemic’ dan mengandungi sembilan lagu, album tersebut juga mengandungi lagu-lagu yang dipetik daripada EP rakaman semula ‘Different Infinite Equations’ mereka. Sebuah klip video kepada lagu mereka ‘Incitement to Violence’ juga telah dikeluarkan pada tahun 2022 dan lagu itu adalah salah satu daripada lagu yang muncul di dalam album kedua mereka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page