November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pengembaraan Cinta Airliftz Melalui “Princess Bubblegum”

Spread the love

Penyanyi rap, penulis dan penerbit, Airliftz kembali menunjukkan belang dalam penghasilan karya pop dengan single terbarunya bertajuk “Princess Bubblegum”. Dari dunia Soundcloud ke pentas utama, Airliftz merupakan nama yang tidak asing lagi di persada muzik tanah air. Mula dikenali sebagai bakat muda, Airliftz meneruskan perkembangannya dengan membuka tirai buat artis antarabangsa seperti Anderson Paak. dan Joji serta menempa nama di festival muzik di seluruh negara sebelum dilamar label arus perdana, RedRecords. Berbekalkan pendengar dari seluruh Asia Tenggara, Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta kolaborasi seantero nusantara, Airliftz kembali menggegarkan carta dengan perspektif baru tentang cinta dan kerinduan menerusi lirik dan irama dalam karyanya yang terbaru ini.

Jemu dengan formula pop generasi masa kini, Airliftz membawakan campuran perisa dan pendekatan yang lebih segar tentang perasaan angau ketika kemaruk bercinta menerusi treknya ini. Dengan tajuk yang diinspirasikan oleh watak Princess Bubblegum dari siri animasi “Adventure Time”, lagu ini ditulis dalam dwibahasa (Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia) dan disaduri bunyian jazz, afrobeat dan R&B alternatif.

Bagi projek kali ini Airliftz bergabung tenaga bersama artis dan penerbit serba boleh, Shelhiel untuk merealisasikan dunia “Princess Bubblegum” dalam bentuk sebuah lagu yang juga menjadi bukti bakat yang bertunas di Asia Tenggara.

“Sebahagian proses pembikinan lagu ini melibatkan saya mengenali Shelhiel dan kekuatan kami yang tersendiri dalam bidang muzik. Bagi saya cabarannya (dalam proses menulis lagu ini) ialah untuk saya membuka diri dan bersahaja dalam berkarya.” kata Airliftz.

Muzik video yang menjadi komponen visual untuk karya ini akan dilancarkan pada 26 Mei dan bakal menyaksikan Airliftz menerokai bakatnya dalam tarian ‘ballroom’ bersama pasangan.

“Muzik video ini cukup sempurna bagi saya sebagai seorang lelaki Melayu Islam yang mahu cuba untuk memecahkan sempadan dalam berkarya. Ia seksi dan sensual tapi tidaklah keterlaluan.”

“Saya inginkan pendengar untuk memahami bahawa terdapat banyak cabang muzik selain aliran perdana. Saya mahu mereka untuk merasai getaran dan membenarkan diri untuk berasa seksi dan berkeyakinan.”, tambahannya lagi.

“Princess Bubblegum” menandakan rilisan single keempatnya di bawah RedRecords setelah kejayaan “Not Today”, “Honest” dan “Smile Strong”. Trek ini tersedia untuk dimuat turun di iTunes dan laman strim seperti Apple Music, Deezer, JOOX music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page