Penganjur Pesta WAK 2023 Kini Dalam Pencarian Rakan Usaha Sama
Pesta What About Kuching (WAK) akan kembali tahun ini dan penganjur pesta itu kini telah menyeru para penganjur-penganjur acara untuk mengemukakan cadangan acara mereka kepada penganjur WAK sekiranya berminat untuk menganjurkan acara di bawah payung WAK edisi tahun ini atau WAK 2023.
Pihak yang berminat yang ingin menjalinkan kerjasama dengan penganjur WAK 2023 boleh mengakses borang untuk diserahkan bersama cadangan mereka (juga dikenali sebagai borang ‘Call For Proposal’ – CFP) dan maklumat festival yang komprehensif di laman web www.aboutkuching.com, lengkap dengan langkah demi langkah arahan untuk penyerahan cadangan. Semua cadangan hendaklah dikemukakan pada tarikh akhir yang ditetapkan.
Didedikasikan untuk meraikan kesenian, budaya dan gaya hidup masyarakat Kuching, Festival WAK 2023 akan berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Oktober 2023 di bandaraya Kuching, Sarawak. Dari penubuhannya pada 2017 sebagai festival akar umbi dengan 57 tawaran dan 48 rakan usaha sama, tarikan tahunan selama sebulan ini telah berkembang menjadi kekuatan yang ketara, menarik penonton seramai 260,952 pada 2019.
Merangkumi komuniti kreatif yang pelbagai, pesta WAK mempersembahkan pelbagai acara, merangkumi persembahan muzik secara langsung, cabaran sukan hingga ke pameran seni dan kraf, program penglibatan kanak-kanak, pameran komuniti tempatan dan bengkel profesional antarabangsa – semuanya didorong oleh prinsip panduannya: “Oleh Komuniti, Untuk Komuniti”.
Memulakan aktiviti perayaan WAK untuk tahun ini, pembukaan untuk cadangan WAK 2023 telah diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sebuah sidang media yang diadakan di di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching hari ini (15 Ogos 2023).
Semasa sidang media tersebut, Abdul Karim berkata, kementeriannya teruja untuk meneruskan komitmen dan menyokong penganjuran pesta What About Kuching (WAK) yang memasuki edisi kelima tahun ini.
Ini adalah kerana beliau melihat WAK semakin berkembang dan menjadi acara penting dalam kalendar tahunan Sarawak dimana WAK menyajikan pelbagai persembahan menarik dan kreatif berkaitan kekayaan khazanah Sarawak.
“WAK telah berkembang secara progresif dan ianya menyajikan pelbagai persembahan, adat dan budaya termasuk makanan tradisional tempatan Sarawak.
“Pembangunan berterusan pelaksanaan pesta itu akan menyaksikan lebih ramai bakat seni antarabangsa datang ke negeri ini.
“Saya begitu yakin, program ini akan memenuhi visinya untuk menjadi festival akses terbuka serantau yang terulung,” katanya dalam sebuah sidang media untuk melancarkan penganjuran pesta WAK 2023 tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan pesta WAK edisi tahun lepas (2022) telah menampilkan 181 acara menarik dengan penglibatan 59 kolaborator serta pengunjung seramai 331,687 orang sepanjang Oktober 2022.