March 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Penceramah Bebas Dibebaskan Mahkamah Daripada Tuduhan Deposit Tanpa Lesen

Spread the love

SEREMBAN, 28 Feb – Mahkamah Sesyen Seremban hari ini melepas dan membebaskan penceramah bebas, Muzzamil Soliheen Musa, 48, daripada pertuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM10,000 bagi tujuan pelaburan pada tahun 2019.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Hakim Mohamad Kamil Nizam, menjadikan kes ini yang ketiga daripada empat pertuduhan yang dihadapi Muzzamil sejak tahun 2019 hingga 2021. Beliau didakwa di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), yang membawa hukuman di bawah Seksyen 137(2) akta yang sama.

Muzzamil, yang hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Mohamed Musthafa daripada firma guaman Tetuan Mohamed Musthafa & Co, melahirkan rasa syukur dan terharu atas keputusan itu.

“Alhamdulillah, tiada yang selayaknya untuk saya ucapkan kecuali sujud syukur. Tempoh lebih dua tahun ini amat mencabar buat saya dan keluarga. Keputusan ini datang menjelang Ramadan, menjadikannya lebih bermakna,” katanya kepada media selepas prosiding.

Sebelum ini, dua keputusan mahkamah turut memihak kepadanya. Beliau dijangka menghadapi satu lagi kes di mahkamah pada bulan Jun nanti bagi penyelesaian pertuduhan terakhir.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Majistret Seremban turut melepas dan membebaskan Muzzamil daripada pertuduhan memperdaya seorang individu dengan mengeluarkan cek tendang sebagai bayaran perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan pada tahun 2018.

Mengulas mengenai keputusan itu, Muzzamil berharap ia dapat membersihkan namanya daripada segala tuduhan dan tohmahan yang menjejaskan reputasi serta sumber pendapatannya sebagai penceramah dan penulis buku.

“Diuji sebegini rupa bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila soal agama dikaitkan hingga menimbulkan persepsi buruk. Namun, saya tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa. Keputusan ini memberi sinar baharu buat saya dan keluarga,” ujarnya.

Muzzamil bertekad meneruskan kerja-kerja dakwahnya dan melihat apa yang berlaku sebagai pengalaman yang mengukuhkan lagi prinsip dan pegangan hidupnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page