Pencarian Sitara Bintang Klasik RTM 2023 Bermula
Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan sesi ujibakat untuk peserta yang berminat untuk menyertai edisi kesembilan (2023) Pertandingan Bintang Klasik di seluruh negara mulai bulan ini (Ogos, 2023). Pertandingan tersebut adalah merupakan sebuah pertandingan nyanyian lagu-lagu Melayu klasik anjuran salah satu daripada stesen radio RTM yang dikenali sebagai Radio Klasik.
Menurut sebuah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia, ujibakat untuk Pertandingan Bintang Klasik 2023 itu akan menjengah enam zon merangkumi lapan lokasi untuk mencari 20 sitara terbaik yang akan dibawa ke peringkat saringan.
Pencarian sitara di Zon Sarawak akan diadakan pada 5 Ogos (Sabtu), di RTM Miri dan 6 Ogos (Ahad), di RTM Kuching, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Seterusnya singgah di Zon Sabah pada 12 Ogos (Sabtu), di RTM Tawau dan 13 Ogos (Ahad), di RTM Kota Kinabalu, dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.
Ujibakat Zon Utara pada 19 Ogos (Sabtu), di RTM Kedah, Zon Timur pada 26 Ogos (Sabtu), di RTM Terengganu, Zon Selatan pada 3 September (Ahad), di RTM Johor, dan Zon Tengah pada 9 September (Sabtu), di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri Kota Media, dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang dikehendaki menyanyikan sebuah lagu dari tahun 50an hingga 90an yang telah ditetapkan oleh Radio Klasik secara solo, duet atau berkumpulan. Lagu-lagu yang ditetapkan adalah seperti berikut:
Menurut kenyataan media tersebut, RTM juga mengatakan bahawa mereka melalui stesen Radio Klasik terus komited memartabatkan lagu-lagu irama Melayu klasik dengan penganjuran Pertandingan Bintang Klasik. Untuk sebarang maklumat lanjut, mereka yang berminat bolehlah mencari maklumat-maklumat berkaitan dengan Pertandingan Bintang Klasik 2023 laman-laman media sosial Radio Klasik.