Penantian 37 Tahun Untuk Testament Ke Malaysia Telah Berakhir
Sebuah catatan baharu di dalam sejarah komuniti muzik metal tempatan Malaysia telah dilakar apabila kugiran gergasi dan lagenda thrash metal dari kawasan Bay Area Pantai Barat Amerika Syarikat, Testament telah membuat persembahan konsert di ibu negara bertempat di Zepp Kuala Lumpur, Jalan Pudu malam tadi.
Semasa persembahan mereka, vokalis Testament Chuck Billy telah mengesahkan bahawa konsert itu adalah kemuculan pertama dalam karier 37 tahun mereka membuat persembahan bersama sebagai sebuah band di Kuala Lumpur. Ekoran daripada itu, Chuck berkata mereka berasa amat teruja kerana telah diberi peluang untuk membuat persembahan buat julung kalinya bukan sahaja di Kuala Lumpur, malahan di negara Malaysia juga.
Testament sudah pasti nama besar dalam dunia irama muzik metal kerana ada peminat muzik metal akan merujuk band ini sebagai salah satu daripada “lapan nama terbesar” genre muzik thrash metal, bersama-sama dengan band-band seperti Metallica, Megadeth, Slayer, Anthrax, Exodus, Overkill dan Death Angel.
Berita kedatangan Testament ke Malaysia untuk mengadakan persembahan konsert di negara ini sebenarnya timbul seawal bulan Julai tahun ini selepas penganjur acara atau promoter dari Malaysia, Lampuneon, mengumumkan bahawa mereka akan menganjurkan persembahan untuk band itu di Kuala Lumpur di laman media sosial mereka.
Selain daripada itu, untuk persembahan Testament di Kuala Lumpur ini, Lampuneon juga mendedahkan bahawa mereka telah bekerjasama dengan promoter dari Singapura, Street Noise SG untuk menjayakan acara ini.
Testament pada acara itu malam tadi secara keseluruhannya membawakan 17 buah lagu dan kebanyakkan lagu yang dibawakan oleh Testament adalah lagu-lagu lama mereka. Acara tersebut pula bermula tepat pada pukul 8.30 malam dimana mereka memulakan persembahan mereka dengan membawakan lagu ‘Rise Up’ yang dipetik dari album mereka yang berjudul ‘Dark Roots of Earth’ yang diterbitkan pada tahun 2012.
Selain daripada lagu Rise Up, lagu-lagu yang mereka bawakan malam tadi adalah The New Order, The Haunting, Trial by Fire, Children of the Next Level, The Pale King, More Than Meets the Eye, Do or Die, D.N.R. (Do Not Resuscitate), 3 Days in Darkness, Musical Death (A Dirge), First Strike Is Deadly, Souls of Black, Over the Wall, Practice What You Preach, Into the Pit dan Alone in the Dark.
Seperti yang dijangka, setiap kali Testament membawakan lagu-lagu lama mereka seperti Trial by Fire, Over the Wall, Practice What You Preach, Souls of Black, Into the Pit dan Alone in the Dark para penonton menjadi teruja. Tiada apa yang harus dikatakan lagi mengenai perkara itu kerana ini adalah kali pertama Testament membuat penampilan membuat persembahan di Malaysia. Sudah tentu para peminat Testament di Malaysia ingin melihat Testament mempersembahkan lagu-lagu yang pada suatu ketika dahulu menaikkan nama Testament pada awal karier mereka sebagai sebuah band.
Sepanjang beraksi membuat persembahan pada acara itu, vokalis Chuck kelihatan begitu bersemangat. Beliau juga sering berkata bahawa beliau gembira dengan reaksi para penonton setiap kali Testament memainkan lagu mereka manakala anggota-anggota Testament yang lain juga kelihatan begitu bersemangat dalam persembahan mereka, mencerminkan kegembiraan Chuck.
Barisan kumpulan Testament yang bermain di Kuala Lumpur, selain Chuck, juga dibarisi anggota-anggota lama Testament seperti Eric Peterson (gitar) Alex Skolnick (gitar utama), pemain bass Steve Di Giorgio yang pertama kali menyertai kumpulan itu pada tahun 2005 dan pemain dram Chris Dovas yang baharu sahaja menyertai Testament pada tahun ini.
Testament menutup tirai persembahan mereka malam tadi, setelah bermain tanpa henti, dengan membawakan lagu Alone in the Dark yang merupakan sebuah lagu mereka yang begitu dikenali oleh para peminat muzik irama metal. Mereka juga mengajak para penonton menyanyi bersama dengan mereka semasa persembahan lagu tersebut.
Walaupun Testamet telah membawakan lagu terakhir mereka pada acara itu malam tadi, para penonton tetap juga inginkan mereka meneruskan persembahan mereka. Akan tetapi mereka bagaimanapun tidak dapat memenuhi permintaan peminat mereka di Kuala Lumpur kerana adalah difahamkan bahawa mereka telah bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya beberapa jam selepas persembahan mereka itu. Ini adalah kerana selepas membuat persembahan di Kuala Lumpur, Testament dijadualkan membuat sebuah lagi persembahan di Jakarta, Indonesia hari ini pada acara Hammersonic After Party.
Sementara itu, wakil Lampuneon, Gee Amcorp apabila ditemui selepas selesainya konsert tersebut telah meluahkan rasa gembira beliau kerana menerima banyak maklum balas yang cukup baik dan positif daripada mereka yang hadir untuk menyaksikan persembahan Testament malam itu tadi.
Gee Amcorp juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada acara itu dan menambah maklumbalas yang baik diterimanya telah memberikannya semangat untuk membawa lebih banyak lagi nama-nama besar dalam muzik untuk membuat persembahan di Malaysia.
Kemunculan Testament di Kuala Lumpur untuk acara persembahan konsert malam tadi adalah bersempena dengan jelajah/ tour mereka yang dikenali sebagai Bay Strikes Back Tour. Selesai sahaja persembahan mereka di Jakarta hari ini, anggota-anggota Testament dijangka pulang ke negara asal mereka Amerika Syarikat.