Penangan Barbarik, Odeon ‘Pecah’
Kredit Foto: Papadin / Subky
Biar ‘ribut’ melanda jiwa fanatika Rejim Barbarik, ia tidak pernah surut. Seawal jam 5 petang, barisan hitam berlogo tengkorak dan slogan perjuangan sudah membanjiri sekitar Odeon Kuala Lumpur. Ada yang berdiri sabar, ada yang duduk di kaki lima, namun satu perkara jelas malam itu bukan sekadar konsert, ia adalah ritual. Hitam menjadi warna dominan, bukan sekadar fesyen, tetapi simbol kesetiaan terhadap sebuah perjuangan muzik yang tidak pernah tunduk.
Pada 12 Disember lalu, Odeon Kuala Lumpur berubah wajah. Ruang yang biasanya tenang bertukar menjadi kawah tekanan emosi apabila Barbarik yang dibarisi Muss, Jo Branko, Rozaimi dan Ainol kembali menakluk pentas menerusi Pentas Barbarik Live @ Odeon KL. Mereka bagaikan pahlawan yang tiada erti noktah perjuangan dalam hidup.
Kelewatan pembukaan persembahan akibat limpahan penonton tidak langsung merencatkan semangat. Di dalam arena, udara sudah berat dengan peluh, jeritan dan getaran bass yang bocor dari sistem audio. Lampu pentas malap, hanya siluet pemuzik kelihatan seolah-olah memberi isyarat bahawa letupan sebenar hanya menunggu detik dilepaskan.

Konsert anjuran Rockstation Event & Entertainment itu menyaksikan ledakkan letupan itu akhirnya hadir menerusi “Peluru Cokelat”. Dentuman dram Ainol menikam dada, bass Rozaimi menggetarkan lantai, sementara riff Jo Branko memecah ruang dengan nada kasar yang bersih dan jelas. Sistem audio yang padat dan seimbang memastikan setiap lapisan bunyi sampai tepat ke telinga, tanpa tenggelam atau berselerak. Vokal Muss pula menyambar ruang meskipun mentah, beremosi dan penuh kemarahan terkawal.
Pencahayaan agresif, mengiringi “Hidup Sederhana”, mencipta suasana konfrontasi yang seiring dengan kritikan sosial dalam lirik. Di sinilah hubungan pemuzik dan penonton menjadi satu dimana setiap bait disambut sorakan, setiap jeda diisi laungan kolektif. Odeon benar-benar ‘pecah’.

Momentum tidak pernah dilepaskan. “18000 Sayap” hadir dengan pencahayaan biru gelap dan sorotan tajam yang mengekori Jo Branko, seolah-olah menvisualkan jeritan gitar yang membelah emosi penonton. “Hati Sulam Lain” pula dimainkan dengan susunan cahaya lebih dramatik, perlahan dan menusuk, memberi ruang kepada Muss menyampaikan kata-kata ringkas yang menghubungkan perjuangan muzik Barbarik dengan realiti hidup jujur, tanpa skrip, tanpa jarak.
Masuk ke pertengahan set, “Kasmaran” dan “GG Gemurah” menukar warna malam. Penyatuan cahaya mencipta kontras emosi, sebelum semuanya kembali gelap dan tegang dengan “Krisis Dipertengahan”. Ketika itu, pit di hadapan pentas bergelora. Tubuh bertembung, tangan terangkat, dan tenaga penonton berpusing seperti arus deras. Haba dalam dewan meningkat, peluh menitis, pendingin hawa tidak lagi berfungsi sebagai penyeimbang dimana muzik sudah mengambil alih segalanya.
Sorotan cahaya putih menyambut “Pesona Sanubari”, sebelum berubah menjadi visual liar dan bergerak pantas ketika “Blues Ular Sawa” dimainkan. Tanpa memberi ruang bernafas, Barbarik terus menghentam emosi dengan “Hukum Karma” menyambar seiring hentakan dram, mencipta sensasi hampir claustrophobic, namun itulah yang diinginkan Rejim Barbarik yang menyatukan tekanan, kejujuran dan pelepasan.


Bahagian akhir konsert menjadi medan nostalgia dan penyatuan generasi. “Opera Hidup” mencetuskan sorakan luar biasa apabila Black dan Eddie muncul di pentas. Cahaya keemasan menyimbah ruang, seolah-olah memberi penghormatan kepada sejarah panjang yang membentuk Barbarik hari ini. Nyanyian penonton hampir menenggelamkan vokal, namun sistem audio kekal terkawal, membenarkan emosi mengalir tanpa menjadi hiruk.
“Gelap Nan Terang” dan “Jerangkung Dalam Almari” membuktikan kematangan muzik Barbarik tampak berat, namun terarah. Set medley SS pula menjadi detik sentimental, diiringi cahaya malap dan sorotan lembut, mencipta momen introspektif di tengah kehangatan.

Kemunculan Mel menerusi “Semalam Yang Hangat” menjadi kemuncak emosi. Penonton menyanyi tanpa henti, dan ruang Odeon dipenuhi getaran perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Mel kemudiannya berduet dengan Muss menerusi lagu ‘Sendiri’.
Menjelang penutup, “Nasib Baik” menghidupkan kembali semangat kebersamaan sebelum “Keris Tak Ada Sarung” mengakhiri malam dengan letupan terakhir nyata keras, jujur dan tanpa kompromi. Ia bukan sekadar lagu, tetapi manifesto.




Malam itu ditutup dengan momen istimewa apabila Black dan Ainol berpadu di posisi dram, Eddie dan Rozaimi menyatu pada bass, sementara Jo Branko kekal menjadi nadi gitar yang tidak pernah berhenti bernafas. Ia adalah simbol persaudaraan muzik, disaksikan oleh ribuan mata yang enggan berpaling.
Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan konsert yang dilihat cukup gah, beberapa tohmahan dan kritikan turut dilemparkan terhadap pihak penganjur, Odeon KL, yang didakwa kurang cekap dalam pengurusan kemasukan penonton. Susulan itu, pihak penganjur tampil memohon maaf menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 13 Disember 2025.

“Terlebih dahulu, kami mengucapkan jutaan terima kasih atas sambutan hangat konsert Pentas Barbarik Live @ Odeon KL. Kami juga telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbaiki pada masa hadapan. Pihak kami telah membuat persiapan terbaik, namun apa yang berlaku adalah di luar jangkaan. Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan akan menambah baik kelemahan yang telah dikenal pasti.”
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM atas kawalan serta pemantauan keselamatan, selain mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir memberi sokongan penuh. Mereka turut memberi jaminan akan menambah baik segala aspek penganjuran pada masa hadapan.

Rockstation Event & Entertainment selaku penganjur turut berjanji untuk membawa visi mengangkat Odeon KL sebagai hab acara merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, seni persembahan serta platform kebudayaan yang lebih sistematik di masa hadapan.
Secara keseluruhan, Pentas Barbarik Live @ Odeon KL adalah pengalaman sensori sarat dengan bunyi yang padu, cahaya yang bercerita, emosi yang mentah dan tenaga dua hala antara pentas dan lantai penonton. Barbarik membuktikan bahawa mereka bukan sekadar band yang masih relevan, tetapi entiti yang masih perlu untuk menyuarakan realiti, menggugat selesa dan memecahkan tembok senyap.
