September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Penampilan Sulung SYJ dan Sofea Sebagai Dua Entiti Berbeza Dalam Satu Acara Bakal Diadakan Tahun Ini

4 min read
Spread the love

Peminat muzik rock Malaysia kini bolehlah bersedia untuk menyaksikan sebuah pertembungan hebat legenda rock Malaysia kerana SYJ dan Sofea akan bergabung tenaga di atas pentas untuk menjayakan sebuah konsert tahun ini. Apa yang menarik tentang konsert ini diberi nama ‘Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris’ adalah ianya merupakan sebuah “gandingan” yang tidak pernah dilihat atau dialami oleh peminat-peminat kedua-dua kumpulan tersebut sebelum ini kerana ramai peminat muzik rock tanahair sebelum ini menyangka bahawa kedua-dua kumpulan tersebut adalah kumpulan yang sama.

Oleh kerana itu, detik bersejarah yang bakal berlangsung pada 13 haribulan Julai di Warisan Hall Studio Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor itu pasti akan membuatkan peminat-peminat SYJ atau Sofea merasa teruja dan terpesona manakala peminat muzik rock Malaysia secara amnya juga sudah pasti akan disajikan oleh sebuah persembahan yang tidak boleh dilupakan.

Selama beberapa dekad, para peminat menghormati kedua-dua SYJ dan Sofea sebagai simbol kehebatan rock Malaysia. Namun, di tengah-tengah kehangatan itu terdapat sebuah mistik – sebuah kisah tentang takdir yang saling berkaitan dan evolusi muzik. Walaupun ramai yang percaya kedua-dua kumpulan itu adalah satu dan sama, kebenaran ekoran daripada penumuman konsert itu mendedahkan naratif yang menarik. Ini adalah kerana selama ini ramai menyangka bahawa Sofea muncul sebagai kesinambungan, lembaran baharu SYJ yang diadun oleh bekas anggota SYJ yang mengekalkan bunyi dan semangat SYJ yang turut juga menarik perhatian peminat muzik rock Malaysia selama beberapa generasi.

Sofea Legacy

Selain daripada itu, ketika Sofea menjadi tumpuan ramai, kehadiran SYJ seakan-akan pudar, membuatkan peminat membuat spekulasi dan maka dengan itu, mitos pun berkembang. Adakah mereka benar-benar entiti yang berasingan, atau adakah Sofea membawa legasi SYJ? Perdebatan para peminat tegar mereka mengenai pekara itu sering timbul, didorong pula oleh penampilan dan muzik Sofea yang mirip sekali dengan penampilan dan muzik SYJ, mengaburkan garis antara masa lalu dan sekarang, realiti dan legenda.

Kebenaran mengenai kewujudan kedua-dua kumpulan bagaimanapun sudah didedahkan ekoran daripada pengumuman konsert yang bakal dijayakan oleh kedua-dua kumpulan itu, menidakkan khabar angin dan mengesahkan identiti tersendiri mereka sambil meraikan warisan bersama mereka. Bagi penyokong setia SYJ, ia adalah sebuah acara yang telah lama ditunggu-tunggu oleh mereka kerana SYJ kali ini akan beraksi sebagai sebuah kumpulan yang sejak sekian lama wujud berjuang di dalam pesada muzik rock tanahair sehingga ke hari ini manakala bagi peminat Sofea pula, ini adalah peluang untuk menyaksikan kebenaran sebuah mitos di samping menyaksikan idola rock mereka secara sah beraksi sebagai sebuah entiti yang berbeza, dan bukannya sebuah kumpulan yang pernah dikenali sebagai SYJ.

Kedua-dua kumpulan yang akan menerajui konsert ini bagaimanapun akan bermain di bawah nama “Sofea Legacy” dan “SYJ Pewaris”. Ini adalah kerana sementara kedua-dua kumpulan itu masih lagi wujud, kedua-dua kumpulan itu akan dibarisi ahli-ahli yang sama ada baharu kepada salah satu daripada kumpulan itu atau bermain dalam sebuah kumpulan yang mendapat kebenaran daripada ahli asal kumpulan itu untuk menjadi pewaris kepada kumpulan tersebut.

SYJ Pewaris

Menurut Alang yang bermain dengan SYJ Pewaris, peminat-peminat SYJ dan Sofea haruslah tahu sekarang bahawa kedua-dua kumpulan tersebut adalah dua kumpulan berbeza kerana tuan punya kedua-dua kumpulan tersebut adalah individu-individu yang berbeza.

“Yang tak tahu dan tak faham fakta dan sejarah sahaja yang akan jadikan isu brand SYJ dan Sofea adalah brand yang sama sedangkan SYJ adalah (singkatan)dari nama Syed Yusof Jamalullail dan Sofea adalah brand hakmilik Man Rani dan Amir selepas mereka tinggalkan SYJ pada tahun 1987, selepas (keluarnya kompilasi) Battle of the Bands 1986 (BOTB86), selepas menyertai produksi Box Office kendalian Ali Bakar dan selepas bernaung di bawah Warnada Records untuk mengeluarkan album pertama Sofea yang berjudul Kembali.

“Cumanya Sofea (pada awalnya) masih menggunakan logo SYJ berbayang dibelakang logo Sofea sebagai maksud yg mereka adalah bekas dari brand SYJ. Perkara itu tidak dijadikan isu memandangkan mereka adalah line-up yang beraksi sewaktu BOTB86 dibawah brand nama SYJ,” kata Alang.

Gambar SYJ pada sekitar era 1980an

Alang yang menyertai SYJ pada tahun 1990 adalah dikatakan pewaris sah kepada SYJ yang diamanahkan oleh allahyarham Syed Yusof Jamalullail, individu yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan tersebut.

Sementara itu, Fancy yang merupakan anggota Sofea Legacy juga turut mengatakan bahawa konsert ini adalah sebuah usaha untuk menjenamakan semula kedua-dua brand SYJ dan Sofea dan juga bagi tujuan meneruskan perjuangan anggota asal yang sudah bersara dan juga untuk menjelaskan pada peminat seluruhnya bahawa SYJ dan Sofea adalah dua band yg berasingan.

Ekoran daripada pengumuman konsert tersebut, kedua-dua Alang dan Fancy telah menjanjikan sebuah persembahan yang tidak akan dilupakan oleh peminat-peminat yang akan hadir pada konsert tersebut. Mereka juga menjanjikan sebuah perayaan kepada legasi yang lahir daripada nama keutuhan dan kegemilangan nama SYJ dan Sofea sepanjang penglibatan kedua-dua kumpulan tersebut di dalam pesada muzik rock tanahair setakat ini.

Kumpulan Sofea

“Sudah pasti akan ada yang istimewa atau gimik yang akan Sofea Legacy lakukan pada persembahan nanti,” kata Fancy.

Apa yang pasti, konsert Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris itu dijangka akan menjanjikan untuk menyemarakkan pentas, menyatukan peminat lama dan baharu, dan mengukuhkan legasi dua gergasi rock Malaysia iaitu SYJ dan Sofea.

Menurut penganjur, konsert Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris ini adalah hasil kerjasama Warisan Hall Studio dan Mentari Merah Entertainment. Fliers rasmi konsert tersebut yang akan mengandungi maklumat lanjut tentang konsert itu juga akan dikeluarkan oleh pihak penganjur dalam masa terdekat.

Selain daripadai SYJ Pewaris dan Sofea Legacy, kumpulan Bloodbrothers juga akan membuat penampilan pada konsert Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris tersebut.

Bloodbrothers

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page