Penampilan Istimewa Kaoru Miyazaki Di Zepp Kuala Lumpur 23 Februari Ini

Penyanyi yang Pernah Berkolaborasi Bersama David Foster ini Bakal Tampil Menerusi ASKA CONCERT TOUR 2025 – Who is ASKA?
Kredit Foto: FB Kaoru Miyazaki
Mungkin nama Kaoru Miyazaki agak asing bagi kita sebagai peminat muzik di Malaysia, namun penyanyi kelahiran Jepun ini tidak asing lagi bagi peminat siri Anime namanya pernah terpahat menerusi King of Thorn (2009), Mobile Suit Gundam: The Origin V – Clash at Loum (2017) dan Mobile Suit Gundam: The Origin III – Dawn of Rebellion (2016).
Selain menyanyi dia juga turut berbakat dalam penulisan lagu Jepun yang semakin mendapat perhatian dalam industri muzik global. Dikenali dengan suara yang merdu dan gaya muzik yang pelbagai, beliau telah menarik peminat dari pelbagai latar belakang, bukan sahaja di Jepun tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Pada tahun 2011, beliau menarik perhatian industri muzik apabila demo tape-nya mendapat sambutan positif daripada penerbit muzik. Ini membuka peluang untuk beliau membuat debut secara rasmi pada tahun 2012 dengan single “Kimi to Sora.”
Sejak debutnya, Kaoru Miyazaki telah menghasilkan beberapa album dan EP yang mendapat sambutan baik. Antaranya ialah 9 STORIES (2012), From Here (2017), The Light (2019) dan Beautiful (2023).
Selain menjadi artis solo, beliau juga pernah menjadi vokalis sokongan untuk beberapa pemuzik terkenal. Pada tahun 2023, beliau membuat penampilan sulung di Amerika Syarikat menerusi Rising Japan Music Festival. Dalam festival ini, beliau menyatakan impiannya untuk berhubung dengan peminat dari pelbagai negara melalui muzik dan bahasa yang berbeza.

Kaoru Miyazaki dikenali dengan kebolehannya menyanyikan pelbagai genre muzik, daripada pop Jepun hingga balada yang penuh emosi. Lirik lagunya sering kali menyentuh tema kehidupan, harapan, dan perjalanan emosi seseorang. Ini menjadikannya sebagai seorang artis yang bukan sahaja berbakat dalam nyanyian tetapi juga dalam menyampaikan mesej yang bermakna kepada pendengarnya.
Beliau juga aktif di media sosial, termasuk Instagram dan YouTube, di mana beliau berkongsi kemas kini mengenai muzik serta berinteraksi dengan peminat. Salah satu persembahan yang menarik perhatian ramai ialah cover lagunya bagi lagu Adele, “Easy On Me.”
Jadi tidak hairanlah mengapa nama Kaoru Miyazaki ‘bersinar’ dan bakal membuat penampilan istimewa menerusi siri jelajah ASKA CONCERT TOUR 2025 – Who is ASKA?, yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Februari ini.

ASKA CONCERT TOUR 2025 – Who is ASKA?, ini akan memberikan pengalaman luar biasa, menampilkan karya-karya terbaik ASKA yang telah mengukir nama dalam dunia muzik selama lebih 45 tahun.
Apa yang pasti peminat akan didodoikan dengan lagu-lagu popular seperti “Say Yes,” “Morning Moon,” serta karya-karya terbaharunya, memberikan penghormatan kepada peminat setianya di seluruh Asia khususnya Malaysia yang menjadi persembahan ‘sulung’ buat ASKA.
Lebih istimewa Konsert anjuran Digital Idea Multemedia ini hanya mengenakan tiket RM380.00 (all seats reserved) bagi semua katagori. Untuk rekod tiket telah mula dijual sejak 6 Disember 2024 lalu. Book My Show: https://my.bookmyshow.com/e/ASKAKL25 untuk pembelian tiket.