February 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Peminat  Diseru Berbusana Bertema Cinta Ke “Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti”

Spread the love

Tiket Konsert Akan Mula Dijual Pada 23 Februari di UberTickets

Selepas hampir sedekad tidak beraksi secara solo di Malaysia, Krisdayanti—diva tersohor dari Indonesia—kembali menyemarakkan pentas dengan konsert yang penuh jiwa dan kenangan. “Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti” bakal menyulam memori indah bersama para peminat pada 22 Jun 2025, jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kali terakhir Krisdayanti mengadakan persembahan secara solo adalah pada tahun 2017 , menerusi konsert ‘Romansa’ yang telah berlangsung di Istana Budaya.

Jika muzik adalah bahasa cinta, maka KD adalah penyairnya. Sejak suaranya mula menusuk ke sanubari dengan lagu ikonik Menghitung Hari lebih tiga dekad lalu, aura bintang ini kekal bersinar di hati pencinta muzik Malaysia. Kini, JBProduction membawakan satu malam yang menjanjikan pesona abadi, dengan iringan susunan muzik hebat daripada pengarah muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa.

Bagi Krisdayanti, konsert ini lebih daripada sekadar sebuah persembahan. Ia adalah anugerah kepada peminat yang setia menemaninya dalam setiap hela nafas seni yang dihayatinya.

“Saya mahu membawa peminat kembali menikmati perjalanan cinta dalam muzik, mengimbau memori indah melalui lagu-lagu yang pernah menemani perjalanan hidup mereka. Saya bersyukur masih diberi ruang untuk berkarya dan disayangi oleh peminat di Malaysia. Saya berharap semua dapat hadir dan bersama-sama menikmati momen istimewa ini,” ujar Krisdayanti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani, menyifatkan pemilihan Krisdayanti sebagai bintang utama konsert ini sebagai sesuatu yang sangat istimewa.

“Kami sangat berbangga untuk mempersembahkan Krisdayanti, seorang diva yang terus mekar dalam dunia seni. Konsert ini adalah kesinambungan kepada perjalanan muziknya yang telah membentuk kenangan indah buat peminat kedua-dua negara. Kami yakin ini akan menjadi malam yang penuh emosi dan nostalgia,” ujarnya sewaktu sidang media Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang diadakan di St Giles Boulevard, Mid Valley pada 17 Februari lalu.

Sebagai tambahan kepada pengalaman konsert yang memukau, para peminat juga diundang untuk memeriahkan malam tersebut dengan pakaian bertemakan cinta. Lebih menarik, mereka yang hadir dengan gaya paling kreatif berpeluang memenangi hadiah eksklusif yang telah disediakan.

“Penonton yang hadir ke konsert dengan konsep ‘tema cinta’ bakal memenangi hadiah eksklusif, jadi pastikan anda hadir dengan tema yang paling kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.

“Kami sangat teruja untuk melihat kreativiti penonton dalam menampilkan gaya terbaik mereka, dan pastinya hadiah menarik akan menanti mereka yang benar-benar menonjol pada malam tersebut,” tambahnya.

Krisdayanti tidak bersendirian dalam menjayakan konsert ini. Dengan tangan emas Erwin Gutawa sebagai Pengarah Muzik, konsert ini bakal memberikan pengalaman yang lebih segar buat setiap lagu yang dipersembahkan.

“Konsert ini bagaikan sebuah cerita sepanjang perjalanan karier saya bergelar penyanyi, lebih menarik konsert ini akan turut menampilkan Erwin Gutawa yang akan bertindak sebagai Pengarah Muzik, di mana beliau akan memberikan ‘nafas’ yang lebih segar kepada lagu-lagu yang bakal saya persembahkan,” katanya.

Selain itu, pihak penganjur juga menjanjikan pengalaman menonton yang luar biasa dengan sistem audio dan pencahayaan bertaraf dunia. Paling menarik, tiket konsert ini ditawarkan pada harga mampu milik agar lebih ramai peminat dapat menikmati malam penuh keajaiban ini.

Sebagai penghargaan kepada peminat setia, lima pembeli tiket terawal bakal membawa pulang sekeping CD terbaharu Krisdayanti yang telah ditandatangani oleh pelantun lagu Menghitung Hari itu sendiri.

Bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi bersuara emas, Krisdayanti juga terus membuktikan keanggunannya apabila tampil di pentas akhir Gegar Vaganza 11 baru-baru ini. Biarpun bakal memasuki usia lima dekad pada Mac ini, pesonanya tetap utuh, membuktikan bahawa cinta dan muziknya tidak akan lapuk ditelan zaman.

Dengan himpunan lagu-lagu malar segar dan kenangan yang tidak ternilai, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti bakal menjadi perayaan cinta dan seni yang tidak boleh dilepaskan. Tiket mula dijual melalui UberTickets bermula 23 Februari 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang penuh magis ini – kerana cinta dan muzik akan terus hidup selamanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page