September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Peminat Anime Jangan Lepaskan Pengalaman ‘Jujutsu Kaisen’ Pertama Di Malaysia

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

ACO Lab dan ACO Media telah berkolaborasi untuk mempersembahkan pengalaman ‘Jujutsu Kaisen’ yang sangat dinanti-nantikan, menjanjikan acara mengasyikkan dan tidak terlupakan oleh peminat antusias anime. Telah dilancarkan secara rasmi bermula pada tanggal 27 April 2024 sehingga 27 Julai nanti, pameran akan berlangsung di Tingkat 3, Zon Merah Jambu, Pavilion Bukit Jalil dari jam 10 pagi hingga 10 malam, setiap Isnin sehingga Ahad. Majlis perasmian pameran diadakan sebegitu gah menyingkap dunia ‘Jujutsu Kaisen’ yang mempesona, mengajak peminat menyelami daya tarikan setiap karektor anime dan mengalami gerakan signatur mereka secara khas.

Berjaya menawan hati peminat di seluruh dunia sejak penampilan sulungnya, ‘Jujutsu Kaisen’ telah mendapat pengiktirafan sebagai “Anime Paling Popular 2023” oleh Guinness World Records. Sebaik sahaja permulaan produksi bagi musim ke-3 diumumkan, tahap keterujaan di kalangan peminat adalah pada skala tertinggi. Sehubungan dengan itulah, maka pengalaman ‘Jujutsu Kaisen’ ini direalisasikan.

“Sejak kecil saya suka menonton ‘Dragon Ball’, ‘Slam Dunk’ dan ‘One Piece’. Saya masih belum berkesempatan lagi menonton ‘Jujutsu Kaisen’, saya berhasrat untuk pergi bersama anak saya.” ujar Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching, Menteri Perhubungan dan Komunikasi ketika ditemui pada majlis perasmian pameran tersebut. Sambil berseloroh beliau berkata lagi, “Semoga saya dapat melihat lebih banyak lagi pameran yang menampilkan anime kegemaran saya pada masa akan datang.”

Ketika upacara memotong riben, pihak penganjur telah prihatin membuat satu gesture bermakna melalui rekabentuk riben yang menyerupai ‘Sealing Talismans’ iaitu salah satu karektor daripada anime. Ianya melambangkan permulaan rasmi bagi pengalaman ‘Jujutsu Kaisen’ dengan undangan khas kepada smua peminat anime untuk melawat dan menghidupkan semula adegan dari anime bersama-sama. Ketelitian merangka pameran dengan membahagi kepada 3 zon utama dengan inisiatif memberi laluan kepada antusias anime menyelami dunia ‘Jujutsu Kaisen’ dan mencipta kenangan abadi selamanya. 3 zon utama ini termasuklah Kafe bertemakan Anime, Zon Fotografi dan Kedai Cenderahati.

Restoran bertemakan Anime ACO Lab menampilkan menu susun atur khas yang diinspirasikan oleh karektor utama ‘Jujutsu Kaisen’, menawarkan seleksi masakan Jepun, pencuci mulut dan minuman yang menyelerakan. Rekabentuk restoran ini menggabungkan variasi elemen dari anime, dengan corak karektor menghiasi kotak makanan dan pemegang minuman. Selain dari itu, model berskala besar versi comel dari ahli sihir terkuat, Satory Gojo dan protagonist, Yuji Itadori berfungsi sebagai latar-belakang yang sempurna untuk foto peminat.

Apa yang menarik perhatian ialah Zon Foto ‘Jujutsu Kaisen’ yang menampilkan 5 adegan anime, mempamerkan standees kadbod bersaiz sebenar bagi karektor utama, serta penjahat dan karektor sampingan. Setiap babak membawa pengunjung ke dalam dunia anime,  membolehkan peminat berinteraksi rapat dengan karektor kegemaran mereka dan mencipta kenangan yang berkekalan.

Turut menampilkan Kedai Cenderahati ‘Jujutsu Kaisen’ terbesar di Malaysia, dibawah selenggaraan ACO Lab, dimana terdapat lebih dari 120 cenderahati eksklusif ‘Jujutsu Kaisen’ edisi terhad termasuklah T-shirt, koleksi kad, standees akrilik karektor, alas meja, dan banyak lagi. Kedai ini menawarkan pelbagai jenis produk rasmi berlesen yang direka khas dengan terperinci.

Antusias anime boleh menikmati keseronokan membeli-belah yang tiada tandingan dan membawa pulang cenderahati kegemaran mereka. Selain dari itu, kedai itu ada menyediakan gerai foto dimana pengunjung boleh mengambil gambar dengan template karektor kegemaran  mereka dalam menambah pengalaman menyeluruh. Tiket pameran boleh didapati di www.ticket2u.com.my/jujutsu-kaisen-experience dengan harga RM20 (pakej kad cenderahati), RM40 dan RM70 sahaja. Untuk informasi lebih lanjut dan kemaskini mutakhir, sila kunjungi media sosial rasmi ACO Lab di Facebook: www.facebook.com/acolab.cafe dan Instagram: www.instagram.com/acolab.cafe


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page