‘Pemandi Jenazah’ Buat Penonton Tidak Sempat Tarik Nafas
Oleh: Zizi Hashim
Mentang-mentanglah tak lama lagi nak masuk bulan suci Ramadhan, semua syaitan dan hantu-hantu bakal kena ‘ikat’, maka-nya bersusun filem seram ditayangkan di pawagam sekarang. Agaknya risau nanti dah kena ‘ikat’ dengan rantai bagai, filem seram dah tak relevan lagi selama sebulan. Berkesempatan menonton 2-3 filem seram baru-baru ini saya terpanggil untuk mengulas tentang filem yang satu ini.
Bukanlah nak cakap besar, tapi selalunya saya tidak menutup mata setiapkali menonton filem seram. Memang takut tapi saya takkan tutup mata. Berbeza dengan filem Pemandi Jenazah ini, tahap stress menonton babak demi babak memaksa saya meletakkan tangan di atas kening, meski tidak menutup mata, tetapi terlindung dengan tangan di dahi. Tak sempat nak bernafas dibuatnya! Hantu keluar di setiap babak, non-stop! Gilaaaaaa!
Filem Pemandi Jenazah yang diproduksi oleh Visual Media Studio telah ditayangkan secara rasmi di pawagam baru-baru ini. Filem arahan sutradara Hadrah Daeng Ratu, dibintangi oleh Aghniny Haque dan Djenar Maesa Ayu sebagai pelakon watak utama. Mengisahkan tentang seorang anak perempuan bernama Lela yang terpaksa meneruskan kerjaya turun- temurun keluaraga dari nenek ke ibunya sebagai pemandi jenazah.
Merasa kecewa kerana tidak diizinkan memilih kerjaya sendiri, Lela dikejutkan dengan kematian tiba-tiba ibunya secara tidak wajar. Belum lama, beberapa orang kawan rapat ibunya turut mengalami kejadian yang sama. Sejak detik itu, kehidupan Lela berubah dihantui banyak kengerian dan misteri demi misteri selepas jumlah kematian di kampungnya meningkat.
Sutradara Hadrah Daeng Ratu memang produktif menggarap filem seram. Setelah Sijjin pada tahun 2023, kini kembali menghentak lewat filem terbaru Pemandi Jenazah ini. Sepanjang tempoh 107 minit, padat menyerang mental penonton dengan jumpscare yang muncul bertubi-tubi. Lepas satu satu dan satu lagi dan lagi. Memang tak boleh nak bernafas, sumpah tak tipu. Konflik demi konflik dan peristiwa misteri dipersembahkan dengan pantas tanpa kehilangan intipati jalan cerita itu sendiri.
Sesuai judulnya, filem ini menguak sisi lain profesi sang pemandi jenazah yang jarang dibicarakan. Dalam hal ini, penonton diberi perspektif tentang pelbagai perkara mistik yang berlalu di sebalik ruang keramat kamar pemandian jenazah. Bermacam-macam kejadian tak lazim yang terjadi pada jenazah, seperti salah satunya mendadak hidup kembali tiba-tiba dan berteriak minta tolong, siap sedia ‘menelan’ penonton dalam ketakutan.
Saat adegan jumpscare mulai terpampang nyata di layar, jangan haraplah kita semua nak bernafas dengan lega. Sebabnya, secepat kilat, adegan jumpscare lainnya sudah ‘beratur’ untuk melakukan kejutan. Konsep ini memang sangat brilliant dan membuat Pemandi Jenazah wajib tonton oleh pecinta filem seram. Banyak juga adegan berlumuran darah yang membuatkan mual. Apalagi terdapat gambaran ulat-ulat menggeliat, rasa nak muntah, ngeri betul!
Ada juga babak yang mengaitkan kehidupan seharian seperti pengumuman kematian dan detik-detik tahlil arwah ditayangkan dengan vibes seram yang mencengkam. Turut memiliki tampilan set yang menakutkan, tidak hanya di kamar mandi jenazah, beberapa tempat lain nya juga menghadirkan nuansa seram yang buat menggigil dan meremang bulu roma. Menariknya hal ini diabadikan dengan sinematografi dan framing yang spektakular.
Selain itu, filem ini menyampaikan mesej moral yang kuat tentang hidup dan mati yang pasti dihadapi oleh semua manusia. Jom tonton sebelum syaitan dan hantu-hantu kena ikat! Saya sehingga ke hari ini berasa ngeri dan meremang apabila bertembung dengan ‘dawai kawad duri’ dan terbayang-bayang babak-babak dalam filem ini. Wajib tonton baru faham maksud ‘dawai kawad duri’ itu.