Pelancaran Rasmi Stesen Pengecas EVlution di RHB Centre KL
Oleh: Zizi Hashim
“Semua inisiatif yang melengkapkan pembangunan ekosistem kenderaan hijau selaras dengan Bluprint Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 sangat mendapat sokongan daripada Kerajaan.” ucaptama Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia pada acara kemuncak Majlis Perasmian Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) EVlution sejajar dengan pameran RHB Green Week yang diadakan buat julung kalinya. Hari ini Kumpulan Perbankan RHB telah berpadu dengan EVlution Sdn Bhd dan Mastercard untuk mengambil langkah penting ke arah amalan karbon rendah dengan menganjurkan pameran RHB Green Week dari 16 April sehingga 18 April 2024.
Tujuan utama adalah untuk meningkatkan kesedaran ekologi, menggalakkan perubahan tingkah laku positif dan mempromosikan gaya hidup lestari. Dengan perasmian ini, bermulalah inisiatif EVlution dalam penyediaan 2,000 unit stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang tahun 2025 bagi memudahkan akses pemilik kenderaan elektrik untuk mengecas kenderaan mereka di lokasi-lokasi strategic di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad berkata, “Kami mengiktiraf peranan penting kami sebagai penyedia perkhidmatan kewangan, dalam mendorong perubahan positif ini. Pelan Hala Tuju dan Strategi Kelestarian jangka panjang kami adalah teras dalam mempraktikkan amalan-amalan baik. Contohnya dengan komitmen pameran RHB Green Week yang pertama kali kami diadakan ini, begitu juga dengan pelancaran rasmi Stesen Pengecas EVlution di RHB Centre hari ini. Kami ingin meningkatkan kesedaran tentang amalan mesra alam, menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk perubahan budaya dan perilaku.” ujarnya lagi.
Kolaborasi dan inisiatif ini merupakan langkah nyata ke arah mempromosikan penerimagunaan EV selaras dengan Dasar Pengangkutan Kebangsaan dan menyokong matlamat negara untuk memiliki 1.5 juta EV di jalan raya menjelang tahun 2040. Setakat hari ini, EVlution merupakan satu-satunya Pengendali Titik Pengecas (CPO) di Malaysia yang menyediakan gabungan sistem pembayaran yang membolehkan pengguna membayar pengecasan EV melalui aplikasi mudah alih EVlution atau dengan menggunakan kad fizikal. Melalui kerjasama strategik RHB dan Mastercard, platform pembayaran mutakhir yang memudahkan transaksi lancar dan memajukan penyelesaian mobiliti lestari diperkenalkan oleh EVlution.
“Misi kami di EVlution adalah jelas, untuk menyumbang secara signifikan kepada landskap automotif di Malaysia dengan menyediakan penyelesaian pengecas EV termaju yang boleh diakses, boleh dipercayai dan berkesan. Kami telah menetapkan sasaran yang tinggi untuk memasang 100 stesen pengecas EV beroperasi menjelang separuh pertama tahun 2024 meliputi kawasan metropolitan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.” bicara Dato’ Jeffrey Ong selaku Ketua Pegawai Eksekutif EVlution Sdn Bhd.
“Komitmen kami bukanlah sekadar menyediakan infrastruktur pengecas EV sahaja malahan kami berdedikasi untuk mempromosikan tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui. Sementelah lagi kami sedang dalam proses pembidaan dalam rundingan kelima Program Solar Skala Besar (LSS) tahun ini. Inilah bukti kukuh komitmen kami terhadap penyelesaian tenaga lestari untuk masa depan yang lebih cerah dan gemilang.” ungkap Dato’ Ong lagi.
“Membangun komuniti yang lestari dan mencapai komitmen Malaysia terhadap pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050 memerlukan usahasama bersepadu. Kemitraan antara Mastercard dan EVlution mendorong kemajuan mobiliti elektrik di Malaysia. Memanfaatkan jaringan global, kepakaran dan teknologi canggih Mastercard, membolehkan integrasi tanpa gesel bagi solusi pembayaran inter-operasi, menyokong infrastruktur pengecasan pintar dan cerdas.” kata Beena Pothen, Pengurus Mastercard Malaysia dan Brunei.
Sambungnya lagi, “Dengan memberi kuasa kepada rakyat Malaysia untuk berbelanja tanpa tunai, kami mempercepatkan proses pergerakan tanpa tunai dan penggunaan EV secara keseluruhan.“ Sebagai kaedah pembayaran pilihan, Mastercard bersama EVlution dan RHB menyediakan kempen menarik dan tawaran istimewa untuk pemegang kad.
RHB menerajui peranan dalam mengguna-pakai kenderaan elektrik dengan kolaborasi bersama Volvo Car Malaysia dan Tesla Malaysia. Pameran RHB Green Week menawarkan aktiviti menarik seperti pertandingan, sumber pendidikan penting, advokasi pemuliharaan tenaga dan amalan gaya hidup lebih sihat melalui aplikasi mudah alih HR Wellness yang inovatif dan banyak lagi.
Sila layari www.evlution.com bagi maklumat terperinci mengenai Stesen Pengecas EVlution dan layari www.rhbgroup.com/chargev/ bagi pengetahuan tentang pembiayaan kenderaan hijau (EV/PHEV) RHB.