January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pasya Luah Jiwa Dalam ‘Aku Bukan Cinta’

Spread the love

Lagu Balada Penuh Emosi Jadi Peneman Buat Hati Yang Kecewa

Naib juara Mentor 7, Pasya kembali mengisi ruang muzik tempatan dengan single baharu berjudul “Aku Bukan Cinta”, sebuah balada penuh jiwa yang sarat dengan emosi dan kisah realiti kehidupan.

Diterbitkan di bawah label Seventeen Eleven Music, lagu ini merupakan hasil sentuhan padu duo komposer hebat, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna nama yang tidak asing lagi selepas kejayaannya menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-39.

Menariknya, “Aku Bukan Cinta” bukan sekadar lagu putus cinta biasa, tetapi turut membawa mesej kekuatan dan keikhlasan dalam melepaskan sesuatu yang tidak lagi membahagiakan.

“Lagu ini sangat dekat di hati saya. Ia tentang luka apabila cinta tidak dihargai, tetapi pada masa sama mengajar kita tentang keberanian untuk melepaskan. Bila saya dengar demo pertama, saya terus jatuh hati sebab melodinya kuat dan liriknya sangat ‘real’. Ramai boleh relate,” kata Pasya.

Menurut Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, kerjasama bersama dua nama besar itu memberikan pengalaman berharga buat dirinya.

“Ikhwan menulis lirik yang puitis tapi mudah difahami, manakala Wan Saleh pula menghasilkan susunan muzik yang moden, segar dan penuh perasaan. Saya banyak belajar daripada mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Pasya mengakui cabaran utama semasa rakaman adalah untuk benar-benar menyelami setiap bait lirik agar penyampaian vokalnya sampai dengan jujur ke hati pendengar.

“Saya harap pendengar dapat merasai kejujuran yang saya cuba sampaikan. Kalau lagu ini boleh jadi penguat semangat buat mereka yang pernah terluka dalam cinta, itu sudah cukup bermakna,” katanya.

Dengan melodi indah, susunan muzik moden dan mesej yang mendalam, “Aku Bukan Cinta” diyakini mampu mencuri hati pencinta muzik tanah air.

Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muzik rasminya sudah boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music: https://youtu.be/wwDJrzYmWjE


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page