December 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Panggung Anniversari Kembali Bernafas, 40 Acara Seni Menanti Sepanjang 2026

Spread the love

Kredit Foto: Papadin

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Kalendar Acara Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, satu inisiatif berterusan bagi menghidupkan semula Panggung Anniversari sebagai antara pentas seni warisan paling ikonik di ibu kota.

Panggung Anniversari yang sekian lama menjadi saksi perkembangan seni tanah air merangkumi muzik, teater, puisi dan tarian tradisional serta persembahan moden, kini kembali berfungsi secara aktif menerusi penganjuran 40 acara pelbagai genre yang akan berlangsung hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026 bermula Januari depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, YBhg. Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud, berkata usaha mengaktifkan semula Panggung Anniversari merupakan sebahagian daripada komitmen DBKL untuk memastikan warisan seni budaya bandar raya terus dipelihara dan dinikmati oleh generasi kini serta akan datang.

“Panggung Anniversari bukan sekadar sebuah bangunan bersejarah, tetapi merupakan simbol perjalanan seni dan budaya Kuala Lumpur. Melalui Semarak Seni @ Panggung Anniversari, DBKL mahu memastikan ruang ini terus hidup, aktif dan relevan sebagai nadi seni budaya warga kota,” katanya ketika ditemui media sewaktu majlis pelancaran Kalender Acara Semarak Seni yang diadakan di Panggung Anniversari pada 13 Disember lalu.

Menurut beliau, penganjuran program secara berterusan sepanjang tahun itu juga memberi peluang lebih luas kepada penggiat seni tempatan merentas generasi dan genre untuk berkarya serta berinteraksi dengan masyarakat bandar.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan platform berterusan kepada penggiat seni lama dan baharu, malah menghidupkan semula fungsi panggung sebagai ruang rehlah seni dan titik pertemuan budaya masyarakat bandar, selari dengan aspirasi Warisan Kuala Lumpur,” katanya.

Sebagai fasiliti persembahan dalam jajaran Warisan Kuala Lumpur, Panggung Anniversari memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pemeliharaan warisan bandar, selain memperkukuh identiti Kuala Lumpur sebagai bandar raya berbudaya dan berdaya saing.

Antara program teras yang bakal dilaksanakan sepanjang 2026 termasuk Konsert Rock Gegar Panggung, Retro Bangkit!, ROCKESTRA, Rasa Rakyat, Pentas Seni LIVE!, Pesta Teater Kuala Lumpur, Konsert Puisi Jundai Nusantara, Zapin Rewang, Independent Vibes, Rentak Legasi, Jazz in the Park serta Pertandingan Bintang Bandaraya.

Mengulas sokongan terhadap Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026), Fadlun berkata pengisian seni dan budaya di Panggung Anniversari berpotensi menjadi tarikan pelancongan bandar yang signifikan.

“Kami yakin penganjuran program seni dan budaya secara konsisten di Panggung Anniversari mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengangkat imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik,” katanya.

Bersempena pelancaran kalendar acara berkenaan, DBKL mempersembahkan Konsert Nostalgia Hits – Di Sini Kenangan Bergema Semula yang menampilkan Oja GV7, Syafik Farhain dan Kumpulan Cherpen, dengan iringan Kombo Budaya serta Artis Budaya DBKL, sebagai pembuka tirai pengisian seni sepanjang tahun 2026.

Program Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan oleh DBKL menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) dengan sokongan kewangan Kementerian Kewangan Malaysia, selaras dengan usaha pemuliharaan dan pengaktifan lokasi di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page