“Pak Su Ammara” Buka Tirai Malam Ini, Angkat Isu Poligami & Derita Anak
Drama terbaharu slot Megadrama, Pak Su Ammara, akhirnya menemui penonton mulai malam ini menerusi Astro Ria. Sejak klip promosinya tular di media sosial, naskhah ini sudah mencetuskan pelbagai reaksi dan teori dalam kalangan peminat yang tidak sabar menantikan episod sulungnya.
Mengangkat kisah realiti rumah tangga yang sarat konflik, Pak Su Ammara menyentuh isu suami yang menuntut hak poligami, selain dilema anak yang menghambakan ibu bapa demi kepentingan sendiri. Jalan ceritanya yang dekat dengan realiti masyarakat menjadikan drama ini antara taruhan besar Astro untuk mencipta fenomena baharu dalam slot Megadrama.


Drama terbitan ini dibarisi barisan pelakon berkaliber antaranya Que Haidar, Ummi Nazeera, Syazwan Zulkifly, Zaleha Iman, Mia Nasir, Shah Iskandar, Raja Azmi, Shweta Sekhon, Hana Aqeela serta Datin Fadilah Mansor, sekali gus menguatkan lagi impak penceritaan yang dibawakan.
Membawa watak utama sebagai Pak Su, Que Haidar mengakui teruja menerima tawaran tersebut, lebih-lebih lagi kerana dapat bergandingan dengan Ummi Nazeera buat kali pertama.

“Saya ambil tawaran ini sebab mahu bekerja dengan Ummi Nazeera. Saya memang mahu bekerja dengan beliau dan Ummi banyak membantu saya di set. Selain Ummi, saya juga dibantu pelakon handalan lain termasuk Dian P Ramlee dan pelakon watak Ammara yang bermain dengan sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Ummi Nazeera pula menyifatkan Que Haidar sebagai seorang yang pemalu ketika kali pertama mereka bertemu, namun memiliki sisi berbeza apabila berada di set penggambaran.

“Pertama kali berjumpa Que Haidar, saya rasa beliau seorang yang pemalu. Tapi walaupun pemalu, beliau ‘gila’ ketika berlakon dan itu yang menutup sifat malu tersebut,” ujar Ummi sambil tersenyum.
Pak Su Ammara bakal bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi aplikasi Sooka untuk tontonan di mana sahaja. Drama ini dijangka mencetuskan perbualan hangat dan menjadi antara naskhah paling diperkatakan sepanjang tayangannya.
Top of Form
Bottom of Form
