December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Paduka Cik Siti ‘Bangkit’ Di Pentas, Manuskrip Melayu Jadi Nadi Muzikal ASWARA

Spread the love

Dalam usaha memelihara dan menghidupkan kembali khazanah sejarah negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama Persatuan Alumni ASWARA mementaskan Teater Muzikal Paduka Cik Siti, yang bakal berlangsung dari 19 hingga 21 Disember ini di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin.

Mengangkat figura legenda Melayu, Cik Siti Wan Kembang, pementasan ini bukan sekadar hiburan pentas, sebaliknya sebuah inisiatif berimpak tinggi untuk memastikan manuskrip, kisah tradisi dan warisan kepemimpinan wanita Melayu terus hidup dalam ingatan generasi muda.

Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar, menegaskan bahawa teater ini adalah sebahagian usaha strategik institusi dalam memelihara karya agung dan teks warisan Melayu agar tidak hilang ditelan masa.

Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar, berkata pementasan tersebut bukan sahaja menonjolkan warisan budaya, malah mengangkat karya sejarah dan manuskrip Melayu agar terus hidup dalam ingatan generasi muda.

“Menceritakan kisah Cik Siti Wan Kembang bukan sekadar mengangkat legenda semata-mata. Ia adalah usaha memartabatkan nilai kepimpinan dan keberanian wanita Melayu, selaras dengan usaha memelihara khazanah budaya negara,” katanya pada sidang media yang telah dia dakan di Rumah Tangsi Kuala Lumpur pada 3 Disember lalu.

Di bawah arahan pengarah berpengalaman Che Kem, naskhah ini mengetengahkan gabungan lakonan, muzik, tarian dan visual pentas berskala besar. Menariknya, produksi Paduka Cik Siti turut menerapkan nafas kontemporari tanpa mengetepikan elemen tradisi.

“Kami mahu penonton merasai nafas moden dalam setiap gerak, lagu dan naratif, namun tradisi tetap diserap sebagai akar utama cerita. Cik Siti dipaparkan sebagai seorang srikandi yang berani, bijak dan berdikari,” kata Che Kem.

Pementasan itu menampilkan barisan pelakon berkaliber antaranya Asmidar sebagai Cik Siti Wan Kembang, Dr. Norzizi Zulkifli sebagai Seri Banun, Tagim Zaki, Syukor Ibrahim Bachik, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal dan Zizi Hazirah.

Produksi ini turut mencabar pasukan teknikal apabila auditorium bertaraf sederhana diubah menjadi ruang pentas epik dengan set, cahaya, kostum dan koreografi yang direka untuk memberikan pengalaman visual penuh dramatik.

Menurut Prof. Dr. Tan, penghasilan karya seperti ini penting dalam mendidik generasi muda mengenai sejarah tanah air melalui medium yang lebih segar dan interaktif.

Pementasan bermula dengan Malam Gala pada 19 Disember jam 8.30 malam, diikuti dua persembahan pada 20 Disember (3 petang & 8.30 malam) dan persembahan penutup pada 21 Disember (3 petang).

Tiket dijual pada harga RM150 (Paduka Cik Siti), RM120 (Seri Banun), RM80 (Prasat Thong) dan RM40 (Puteri Saadong – tiket diskaun) melalui platform CloudJoi.

Orang ramai boleh mengikuti maklumat terkini pementasan melalui platform rasmi media sosial ASWARA.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page