Paduan 2 Tenaga, Aizat Amdan dan Fabio Asher ‘Jelmakan’ Intiminasi Bersama Peminat
Oleh: Rafidah White
Sangat intim! Bertepatan tema mengangkat kolaborasi dua artis berbakat besar Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas, nyata kedua-duanya memiliki aura tersendiri dalam menjalin hubungan akrab bersama para penggemar muzik mereka. Walau petang sebelum persembahan bermula, cuaca sekitar lokasi acara berlangsung kelihatan agak mendung, namun tidak sekalipun ianya menjejaskan pertemuan yang dirasakan lebih bersifat personal, kemesraan yang tidak dibuat-buat seperti telah kenal lama.
Kagum melihat perkongsian rasa dan cerita di sebalik pengkisahan lirik dan lagu ciptaan, seolah-olah tiada jurang antara penggemar masing-masing dengan dua figura yang dimaksudkan – Fabio Asher dan Aizat Amdan. Begitulah kesimpulan yang boleh penulis gambarkan sesudah menyaksikan Konsert “An Intimate Night with Fabio Asher and Aizat Amdan” yang berlangsung pada 24 Februari yang lalu di JioSpace, Petaling Jaya.
Luar biasa melihat keterujaan para peminat yang hadir walau tidak begitu ramai seperti yang dijangka. Leka memerhati tingkah laku mereka, seperti telah saling mengenali sesama mereka, mungkin mereka kumpulan yang kerap berjumpa dipersembahan dua artis pujaan mereka ini. Tanpa sedar lampu sorot pentas mula menunjukkan pergerakan tanda tirai persembahan bakal bermula.
Tertancap di tengah pentas sosok Aizad Amdan,yang tanpa berlengah terus mencipta momen ringkas dengan pengumuman santai tapi sungguh manis, mengekspresikan lagu pertama untuk malam itu , “Hanya Kita Dua” khusus buat isteri tercinta. Ayat-ayat ringkas cukup bermakna itu disahut dengan gema sorakan tanda sokongan dari semua yang hadir sekaligus umpama petanda bahawa Aizad sudah berjaya dengan strategi awal menarik perhatian khalayak penonton untuk terus berhibur dengan persembahannya.
Bersama band pengiring, Aizat yang seperti biasa turut bermain gitar rhytmn di sepanjang persembahan 12 lagu-lagu pilihan kelihatan terus berkeyakinan mengawal momentum energi persembahannya malam itu dengan membawa terus kepada para peminatnya mengimbau kenangan “Jerrypah”. Ketika inilah berlaku sedikit masalah teknikal namun Aizat mampu mengawal situasi gugup dengan cubaan bergurau. Dalam nada seloroh Aizat sempat mengambil peluang dari insiden tersebut dengan menjelaskan hakikat dirinya seorang yang spontan atau ‘kaki redah’, hanya yang kenal lama dan rapat sahaja mengenali sisi ‘gila-gila’ dirinya yang kerap dipandang diam dan serius.
Penyanyi yang menurut penulis boleh dianggap memiliki magis seni yang tersendiri dengan keupayaan mencipta dan menempatkan setiap karyanya agar terus ‘kekal muda’. Aizad Amdan meneruskan persembahan sambil mengimbau kenangan persekolahan seperti yang diceritakan dalam lagu “Susun Silang Kata”. Para penonton masing-masing kelihatan turut tersenyum sendiri, malah ada yang mengambil kesempatan untuk merakam momen bersama rakan seolah mengiyakan penceritaan lagu yang pernah dijadikan single utama dalam album kedua ‘Urusan Aizat Amdan (2010)’.
Pasti juga rangkaian lagu-lagu eksperimental akustik seperti Pergi, Sampai Ke Hari Tua dan Always With You menjadi senarai wajib didendangkan, dan Aizat membuktikan kepekaannya apabila mengambil satu inisiatif bijak membuktikan kepekaan penerima Anugerah Tokoh Muda Negara 2011 ini berkaitan isu pembebasan Palestin. Aizat dalam ucapan ringkas turut mengajak semua pihak agar melakukan apa jua yang usaha mengikut kemampuan masing-masing dan berjanji dirinya sendiri akan meneruskan gesaan bertegas menuntut kezaliman dihentikan mengikut apa jua platform yang dimiliki dirinya.
Suasana bertukar hening dan sebak apabila bendera Palestin dikibarkan menerusi layar besar LED yang melatari pentas persembahan sepanjang persembahan lagu Pergi. Lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan dalam segmen solo Aizat antara lain ialah “Years From Now”, serta sebuah lagu baharu iaitu “Simfoni Hati Beradu”.
Mengakhiri persembahan solo, pastilah tidak lengkap jika Aizat tidak memperdengarkan yang sentiasa menjadi kegemaran ramai iaitu lagu ”Hanya Kau Yang Mampu” , “Sungai Lui” dan runut bunyi yang tidak asing lagi, berjudul “Kau Aku” .
Hampir jam 10 malam, Fabio Asher pula mengambil tempat di pentas persembahan dan sepertimana Aizat Amdan, Fabio juga mendendangkan 12 buah lagu sebagai hadiahnya kepada para peminat yang tidak jemu-jemu memberi sokongan sejak mula berkecimpung aktif. Lagu-lagu yang didendangkan terdiri daripada Pelangi, Hati Lain Di Hatimu, Since I Found You, Setia Menunggumu, Bertahan Terluka, Inikah CInta, Berharap Kau Kembali, Tanpa Rasa Bersalah, Rumah Singgah serta Akhir Yang Manis.
Fabio turut memperdengarkan sebuah lagu cover Tegar dalam gaya dan versinya yang tersendiri. Gandingan duet antara Fabio dan Aizat juga sempat ditampilkan dan kedua artis ini berpadu suara mendendangkan lagu Sinaran nyanyian asal idola mereka berdua iaitu Dato Sheila Majid.
Berulangkali memanjat rasa syukur dan gembira dengan penerimaan Malaysia terhadap dirinya, Fabio Asher sempat berseloroh meminta tawaran agar dilantik menjadi Duta untuk Kek Tapak Kaki Kuda lantaran dihadiahi kek tersebut oleh salah seorang peminatnya.