May 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ooi Tianjia & Ng Xin Yi Dinobat Juara Pertama ToYm Shining Star Idol 2025

Spread the love

Malam penuh gemerlapan dan emosi menutup tirai edisi sulung ToYm Shining Star Idol Competition 2025, apabila dua bintang muda Ooi Tianjia dan Ng Xin Yi  dinobatkan sebagai Juara Lelaki dan Wanita pertama pertandingan yang dianjurkan oleh Thousands of Years Media (ToYm).

Acara yang telah berlangsung di Dewan Besar ANDAMAN, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu menyaksikan 24 finalis bersaing dalam tiga segmen utama: persembahan bakat, cabaran lakonan, dan sesi soal jawab spontan — sebuah format yang dirangka untuk menguji daya tarikan bintang sebenar di hadapan juri profesional dan penonton secara langsung.

Hanya berusia 17 tahun, Ooi Tianjia memukau pentas dengan bakat luar biasa, bermula dengan balada ciptaannya sendiri yang dimainkan dengan gitar akustik, sebelum mengejutkan dewan dengan persembahan penuh tenaga Billie Jean dalam gaya tarian Latin. Gabungan vokal, kreativiti dan karisma pentas yang luar biasa menjadikan beliau pilihan mutlak sebagai Juara Idol Lelaki.

Beliau membawa pulang RM30,000, kontrak bakat eksklusif bersama ToYm, dan trofi edisi terhad  Satu permulaan rasmi kepada perjalanan seninya dalam industri hiburan tempatan.

Bagi kategori wanita, Ng Xin Yi, 23 tahun, menyerlah dengan penampilan memikat dan persembahan tarian moden yang penuh ketepatan serta tenaga. Aura pentasnya mencetuskan gelombang sokongan penonton sepanjang malam, membolehkan beliau bukan sahaja menawan hati juri tetapi juga meraih undian tertinggi penonton sekaligus menjadikan beliau satu-satunya pemenang dua gelaran utama iaitu Juara Idol Wanita dan Anugerah Paling Popular.

Ng Xin Yi menerima hadiah keseluruhan bernilai RM40,000, kontrak bakat bersama ToYm, dan trofi khas sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai wajah baharu paling menyerlah dalam industri hiburan tanah air.

Selain dua juara utama, tempat kedua dan ketiga juga diraikan, dimana Naib Juara Pertama: Aeron Jeszel Iskandar & Sherlyn Poh (RM20,000, kontrak media, trofi) dan Naib Juara Kedua: Chee Lim Peng & Bell (Nabila Balqis) (RM15,000, kontrak, trofi).

Tiga Anugerah Saguhati telah diberikan bagi setiap kategori, dengan setiap penerima menerima RM5,000, kontrak bakat bersama ToYm, dan trofi. Tiga pemenang lelaki ialah Iyad Sanim, Puple YK (Lee Yee Keat) — yang turut memenangi Anugerah Bakat Terbaik (RM10,000) — dan Kayson Loh Zhong Kai, yang juga merangkul Anugerah Personaliti Media Sosial Paling Popular (RM10,000). Pemenang kategori wanita pula ialah Jennifer Ong Wei Ying, Lee Jia, dan Charmaine Chan Yun Xuan.

Dalam ucapan pembukaan oleh Pengasas dan Pengarah Eksekutif ToYm dan Sunstrong Entertainment, Jment Lim, beliau menekankan kejayaan projek drama pendek sulung ToYm, In Character, yang menerima sambutan menggalakkan. Susulan kejayaan tersebut, beliau mengumumkan pelan strategik ToYm untuk menerbitkan lebih lima siri pendek baharu dalam Bahasa Cina dan Melayu.  Usaha yang bakal menyemarakkan kandungan tempatan dan mencungkil lebih banyak bakat baru dalam bidang lakonan dan penciptaan kandungan.

Dengan format pertandingan yang menyeluruh, pentas yang gah, dan barisan finalis yang mengagumkan, ToYm Shining Star Idol menetapkan satu penanda aras baharu dalam pencarian bintang Malaysia. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi permulaan kepada gelombang baharu dalam landskap hiburan tanah air.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page