September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

ONEUS ‘La Dolce Vita’ Hipnosis Lebih 1500 Peminat

2 min read
Spread the love

Sarat dengan ‘cerita’, kumpulan K-Pop, ONEUS telah menghipnosis lebih 1500 peminat setianya.  Ini adalah persembahan sulung mereka di Malaysia dalam siri jelajah dunia menerusi 2024 ONEUS World Tour La Dolce Vita’ yang telah berlangsung  di Zepp Kula Lumpur pada 4 Mei lalu.

Konsert ini dianjurkan oleh Soul & Joy Entertainment, anjuran bersama SEAE dan Shining Star, dengan 43 sebagai Promoter.

Kehadiran sosok tubuh ONEUS yang dianggotai oleh Seoho, Leedo, Keonhee, Hwanwoong dan Xion di pentas Zepp tepat jam 6 petang itu sudah pasti menimbulkan suasana jerik pekik peminat yang seakan histeria apabila melihat ikon kesayangan berada di depan mata.

Tanpa banyak bicara mereka persembahkan lagu Baila Conmigo sekaligus mencipta vokal yang berharmoni bersama khalayak.  Setiap ritma di lengkapi dengan tarian yang cukup berkarisma dan energi yang cukup padu.  Suasana sedikit ‘tegang’ apabila lagu Erase Me kedengaran lantas membangkitkan roh dan rasa yang menyelimuti peminat setia mereka.

“Malaysia makes some noise..Welcome to our second world tour, La Dolce Vita..Annyeong”, jerit Hwanwoong menyapa peminat yang hadir.  ONEUS kemudiannya memperkenalkan diri masing-masing, mereka juga turut merasa terharu kepada setiap peminat yang hadir dan menyatakan akan terus memberikan persembahan terbaik sepanjang konsert berlangsung.

Bersandarkan koreografi yang di satukan bersama vokal yang berharmoni ONEUS meneruskan persembahan dengan beberapa buah lagu antaranya Simulation, Full Moon dan Valkyrie.  Selain itu papan LED turut menyumbang kepada ‘hidup’nya persembahan ONEUS.

Adakalanya mereka menyeka peluh yang membasahi muka dengan sapu tangan yang di sediakan dan adakalanya mereka terpaksa berceloteh untuk menutup rasa letih akibat menari sambil bernyanyi.  Namun semuanya kelihatan cukup profesional.

Bagi memberi ruang untuk ONEUS berehat seketika, khalayak di sajikan dengan video klip yang memberi makna ‘La Dolce Vita’.

Seoho, Leedo, Keonhee, Hwanwoong dan Xion kemudiannya tampil lagi seraya mengalunkan LUNA, LIT yang dipetik daripada album ke 3 “Fly With Us” yang dirilis pada tahun 2019.

Lagu Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam bukan sahaja popular di Malaysia, fenomenanya ‘mendunia’, menghormati ‘mood raya’ yang masih membelenggu.  ONEUS turut teruja untuk mendekati peminat Malaysia dengan tarian dan lagu yang sekaligus mengundang tepukan dan gemaan vokal khalayak yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur.

ONEUS sekali lagi memberi kejutan kepada peminat mereka, Seoho, Keonhee, Hwanwoong dan Xion tampil segak di atas pentas dengan busana Baju Melayu.  Ternyata mereka bukan sahaja bijak bernyanyi dan menari tetapi bijak memikat peminat dengan budaya sesebuah negara.

Permainan emosi kini bermula, dimana ianya menandakan persembahan ONEUS bakal melabuhkan tirainya.  Jeritan dan sorakkan khalayak yang mahukan mereka meneruskan persembahan tidak kesampaian kerana jam sudah pun menunjukkan angka 8 malam.

ONEUS berjanji untuk kembali lagi ke Malaysia jika ada peluang.  Untuk rekod nama ONEUS mula ‘menjajah’ dunia sejak memulakan kerjaya pada 2019 di bawah RBW Entertainment.

Lagu-lagu yang dicipta ONEUS berjaya menduduki carta teratas termasuk satu album studio dan 10 album mini yang menampilkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan Sepanyol.

Terkenal dengan lagu hits berjudul Valkyrie, LIT, No Diggity, Same Scent dan LUNA, ONEUS telah melakukan lawatan utama di luar kawasan asal mereka ke bandar- bandar di seluruh Jepun, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page