November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

One Love Music Festival Himpunkan 12 Artis Malaysia dan Indonesia

Spread the love

Festival Secara Terus Selama 12 Jam Itu Bakal Berlangsung di Maeps Serdang Pada 21 Disember Ini

Penganjur festival One Love Music, Tuff KL sekali lagi bakal mengadakan festival yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti konsert yang terdiri daripada 12 artis istimewa yang akan membuat persembahan, festival makanan serta baju T-Shirt dan semuanya bakal menghiburkan anda di One Love Music 2.0.

One Love Music 2.0 akan berlangsung pada 21 Disember 2024 bertempat di Maeps Serdang, Selangor bakal membariskan artis ikonik Malaysia dan Indonesia.  Antaranya ialah Kugiran Masdo, Hujan, Insomniacks, Bunkface, Drama Band, 53 Universe, dan pencetus irama Ska di Malaysia, kumpulan Gerhana Ska Cinta. Festival ini juga akan menampilkan persembahan daripada Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah, dan Salma Salsabil. 

Menurut Muhammad Zul Aqil, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tuff KL, penubuhan Tuff KL adalah dengan misi untuk menyatukan orang ramai melalui muzik dan komuniti, dan One Love Music Festival adalah cerminan kuat visi tersebut. 

“Sejak awal kami pada 2021, kami telah berkembang daripada menjual merchandise pertama kepada penganjuran acara yang bukan sahaja menghibur tetapi juga memberi impak,” ujar Muhammad Zul Aqil, atau lebih mesra dikenali sebagai John ketika ditemui media di Cornerstone IPC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 6 November lalu.

Tambah beliau lagi, One Love Music Festival bukan sekadar konsert; ia adalah gerakan yang bertujuan untuk memanfaatkan kuasa muzik demi menghubungkan individu daripada pelbagai latar belakang. Dalam era di mana hubungan sosial kadangkala terasa rapuh, festival ini berfungsi sebagai peringatan tentang kegembiraan dan perpaduan yang dapat dibawa oleh muzik secara langsung.

John turut mendedahkan bahawa One Love Music Festival menjanjikan festival muzik 12 jam tanpa henti sekaligus ianya mencatat sejarahnya yang tersendiri.

Dengan lebih 4,000 tiket telah dijual, keterujaan sekitar festival itu semakin meluas. Terdapat pelbagai pilihan struktur tiket ditawarkan, termasuk Early Bird (Berdiri) pada RM55, General Admission RM150, Rockzone pada RM169, dan pakej Meet & Greet eksklusif pada harga RM450 (terhad kepada 50 peminat). Tiket dibuka untuk jualan di www.ticketmelon.com/olmfest.

Sementara itu, penaja utama MOVETIX oleh AirAsia MOVE turut berkongsi kegembiraan mereka berhubung kerjasama dengan Tuff KL untuk One Love Music Festival ini.

Encik Hassan Choudhury, Ketua Pegawai Eksekutif MOVETIX oleh AirAsia MOVE berkata, “Acara seperti One Love Music Festival pasti akan menyatukan peminat dan artis, terutamanya dengan barisan bakat tempatan dan antarabangsa yang luar biasa”,

“Sebagai sebahagian daripada platform ejen pelancongan dalam talian (OTA), kami berharap untuk membolehkan pencinta muzik dan peminat artis hebat ini menikmati pengalaman perjalanan yang lancar kerana mereka dapat menempah tiket acara, penerbangan, hotel, perjalanan mereka ke tempat itu. dan banyak lagi dengan nilai terbaik melalui aplikasi AirAsia MOVE”.

“Kami tidak sabar-sabar untuk menjadikan One Love Music Festival pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua orang bersama Tuff KL”, tambahnya.

Dengan kerjasama seperti AirAsia MOVE dan sokongan lebih 20 universiti awam dan swasta, Tuff KL mengaplikasikan strategi penjenamaan unik dengan melibatkan pelajar sebagai promoter, berkolaborasi dengan jenama tempatan dalam komuniti, dan bekerjasama dengan lebih daripada 50 influencer yang akan memanfaatkan platform mereka untuk menghebahkan pendedahan mengenai acara ini.

Pendekatan lazim ini bukan sahaja menginspirasikan golongan muda, tetapi juga mengukuhkan hubungan tempatan, serta mempromosikan rasa kebanggaan terhadap seni dan budaya Malaysia.

Dengan festival yang semakin hampir, keterujaan semakin memuncak untuk acara muzik terbesar di Malaysia tahun ini. Tuff KL, dengan kerjasama Dzili Empire dan rakan strategik lain, berhasrat untuk mencipta pengalaman festival yang tiada tandingannya, meraikan kuasa muzik untuk menyatukan orang dari semua lapisan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut mengenai One Love Music Festival, ikuti akaun media sosial rasmi mereka @olmfest_ di Facebook, Instagram dan TikTok.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page