May 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ombak Festival 2025 Tampilkan Simply Red, George Clinton dan Bakat Serantau ASEAN

Spread the love

Ombak Festival kembali untuk edisi keduanya yang bakal bermula dari 12 hingga 14 September 2025 di Desaru Coast dengan penganjuran lebih besar dan berani, menampilkan barisan artis antarabangsa tersohor serta lebih 29 bakat serantau sempena Tahun Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

Mengangkat tema The Ultimate Weekend, festival hujung minggu selama tiga hari ini menyatukan elemen muzik, seni, kulinari dan aktiviti keluarga. Tarikan utama tahun ini termasuk persembahan eksklusif Simply Red sempena ulang tahun ke-40 kumpulan legenda Britain itu, selain kehadiran ikon funk George Clinton & Parliament Funkadelic, penyanyi soul Joss Stone, serta duo elektronik Flight Facilities dari Australia yang bakal membuat penampilan sulung di Malaysia.

Pengarah Ombak Festival, Karina Ridzuan berkata, edisi kali ini mengetengahkan semangat serantau yang lebih menyerlah dengan penyertaan artis dari seluruh Asia Tenggara. “Fokus kami adalah untuk mewakili yang terbaik dari ASEAN dengan menggabungkan ikon global dan bakat serantau bagi mementaskan pengalaman luar biasa merangkumi muzik secara langsung dan ekspresi seni,” katanya menerusi satu kenyataan.

Antara barisan artis ASEAN yang bakal menggegarkan pentas ialah Joe Flizzow, SonaOne, Ismail Izzani, Gerhana Skacinta, The Pinholes (Singapura), Diskoria dan Tanayu (Indonesia), Phum Viphurit (Thailand), serta Vanthan dari Kemboja. Lebih banyak pengumuman artis akan dibuat menjelang Julai ini.

Ombak Festival turut mempersembahkan pengalaman gastronomi menerusi segmen Taste & Toast, menampilkan hidangan istimewa oleh chef terkenal seperti Andrew Walsh melalui Sazón Tapas & Grill, dan Carbon KL brings Smoke & Fire, selain Flavours of Johor yang meraikan keunikan rasa tempatan.

Di ruang seni Arts & Play, pengunjung boleh menyertai bengkel upcycling oleh Pulau Pulao, cetakan blok oleh Segaris Art Center, serta meneroka bazar Pasar Seloka yang menampilkan hasil kraftangan tempatan. Aktiviti unik seperti sesi bermain mahjong bersama All Tiled Up juga disediakan untuk pengunjung semua peringkat umur.

Satu tarikan istimewa ialah Ombak Kids, program mesra keluarga yang menawarkan aktiviti seperti cabaran binaan LEGOLAND, permainan bersaiz gergasi oleh Mereka Games, kelas membuat wau bersama Go Fly Kites, serta interaksi dengan patung festival bersaiz 10 kaki – Meera & Fiz, watak rakyat Johor yang diperkenalkan tahun lalu.

“Ombak Festival ialah perayaan gaya hidup yang inklusif – sesuai untuk yang datang bersama rakan, keluarga, atau menikmati festival secara solo,” tambah Karina. “Matlamat kami adalah menjadikan ia festival wajib hadir di Asia Tenggara menjelang Tahun Melawat Johor dan Malaysia 2026.”

Tiket festival kini boleh didapati di www.ombakfestival.com dan Ticketmelon. Penginapan eksklusif disediakan di resort 5 bintang sekitar Desaru Coast seperti Hard Rock Hotel, The Westin, dan Anantara Resort & Villas – kesemuanya dalam jarak berjalan kaki dari tapak festival.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Ombak Festival di media sosial dan bersedia untuk pengumuman istimewa akan datang. Suatu hujung minggu penuh rentak, rasa, seni dan permainan menanti di Desaru Coast September ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page